ad
AGENDA

Malaysia imbang hubungan dengan AS, percepat reformasi ekonomi, peranan ASEAN

5 Mei 2025, 3:47 AM
Malaysia imbang hubungan dengan AS, percepat reformasi ekonomi, peranan ASEAN
Malaysia imbang hubungan dengan AS, percepat reformasi ekonomi, peranan ASEAN

Oleh Rafiqah Rauf

SHAH ALAM, 5 MEI: Tindakan Malaysia mahu memperkukuh hubungan strategik dengan Amerika Syarikat (AS) akan mempercepat pelaksanaan reformasi ekonomi negara, sambil mengemudi peranan penting sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

Penganalisis politik Universiti Malaya, Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, langkah proaktif itu bukan sahaja membuka lebih banyak peluang pelaburan dan perdagangan, malah memperkukuh keyakinan antarabangsa terhadap kepimpinan kerajaan perpaduan di bawah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Usaha ini bukan sahaja memberi manfaat perdagangan timbal balik yang menguntungkan, malah meningkatkan keyakinan rakyat terhadap keupayaan kerajaan mengurus ekonomi secara berkesan,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Dr Awang mengulas mengenai kenyataan perdana menteri yang mahu negara mengimbangkan hubungan erat dengan AS serta negara lain, dan pada masa sama menggalas amanah kepengerusian ASEAN untuk memacu pertumbuhan serantau.

Dalam kenyataan itu, Anwar berkata, langkah itu memberi peluang kepada kerajaan menyusun semula struktur ekonomi negara agar lebih kukuh, kalis cabaran dan berdaya saing.

[caption id="attachment_699695" align="alignleft" width="500"] Penganalisis politik Universiti Malaya, Datuk Dr Awang Azman Awang Pawi[/caption]

Dr Awang menambah, sebagai pengerusi ASEAN tahun ini, peranan aktif Anwar di pentas serantau turut memperkukuh imej Malaysia sebagai negara yang bersedia mendepani cabaran global.

“Ini secara tidak langsung menyokong naratif reformasi kerajaan perpaduan dan memberi isyarat jelas bahawa Malaysia berada di landasan betul dalam mengurus hubungan antarabangsa serta kestabilan domestik,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Awang memberi contoh kerjasama dua hala termasuk inisiatif menerusi 'Trade and Investment Framework Agreement' (TIFA) serta perundingan perjanjian perlindungan teknologi dalam sektor semikonduktor, aeroangkasa dan ekonomi digital membuktikan komitmen kerajaan untuk menarik pelaburan asing.

Beliau berkata, pendekatan ini selari dengan usaha kerajaan meningkatkan daya saing negara, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi serta menarik pelaburan asing secara berterusan.

“Gabungan pertumbuhan ekonomi yang seimbang dan kepimpinan pragmatik menjadikan Malaysia semakin diyakini, bukan sahaja oleh pelabur luar malah rakyat sendiri,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan Malaysia mengekalkan pendekatan nasionalistik dan berimbang dalam menjalin hubungan dengan kuasa besar, termasuk China.

Mengulas kedudukan Malaysia dalam landskap geopolitik serantau, beliau memuji pendekatan pragmatik dan nasionalistik kerajaan dalam mengimbangi hubungan dengan kuasa besar seperti AS dan China.

Malaysia mempengerusikan ASEAN tahun ini. Sebagai Pengerusi, Malaysia akan memainkan peranan penting dalam memacu agenda kerjasama ekonomi, digital dan keselamatan serantau, selain menjadi suara utama ASEAN dalam hubungan dengan kuasa besar seperti Amerika Syarikat, China dan Kesatuan Eropah.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.