ad
AGENDA

Bapa tikam anak berusia 11 tahun dengan pisau direman tujuh hari

3 Mei 2025, 3:05 AM
Bapa tikam anak berusia 11 tahun dengan pisau direman tujuh hari

KOTA BHARU, 3 MEI: Guru lelaki yang disyaki menikam anak lelakinya dua kali menggunakan pisau pemotong sayur sehingga parah di Kampung Banggol Che Dol, Pohon Tanjung, Pasir Mas semalam, direman tujuh hari bermula hari ini.

Perintah reman terhadap suspek berumur 47 tahun itu dikeluarkan Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri di Mahkamah Majistret Kota Bharu di sini, hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas kesalahan cubaan bunuh.

Terdahulu, suspek tiba di Kompleks Mahkamah Kota Bharu dengan berpakaian lokap pada 8.44 pagi.

Semalam, media melaporkan kanak-kanak lelaki 11 tahun parah selepas ditikam dua kali oleh bapa kandungnya di bahagian dada dan perut menggunakan pisau pemotong sayur.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Kama Azural Mohamed berkata polis menerima aduan daripada orang awam mengenai kejadian itu jam 9.08 pagi.

Beliau berkata kejadian dipercayai berpunca krisis rumah tangga dihadapi suspek yang kini dalam proses perceraian kali ketiga dengan isteri.

Polis turut memaklumkan suspek dipercayai menghadapi masalah mental dan menerima rawatan psikiatrik sejak 2008.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.