SHAH ALAM, 2 MEI: Seramai dua juta pelancong termasuk dari luar negara direkodkan hadir ke Selangor bagi tempoh suku pertama tahun ini.
EXCO Pelancongan Dato’ Ng Suee Lim berkata jumlah itu dijangka terus meningkat dengan pelbagai promosi di peringkat tempatan dan antarabangsa dilaksana Tourism Selangor.
“Buat masa ini, kita masih menunggu jumlah terkini namun setakat suku pertama dianggarkan dua juta pelancong domestik dan antarabangsa.
“Kita akan bentangkan laporan terkini bagi setiap suku tahun. Pelbagai acara disediakan sempena Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025) merangkumi pelbagai segmen,” katanya hari ini.
Beliau berkata selepas merasmikan Festival Makanan Mega Selangor 2025 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam yang turut dihadiri EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah dan Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling.
[caption id="attachment_699332" align="aligncenter" width="700"] EXCO Pelancongan Dato' Ng Suee Lim melakukan gimik pelancaran Festival Makanan Mega Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 1 Mei 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Mengulas lanjut, Suee Lim menjelaskan pihaknya optimis jumlah 40 peratus pelancong antarabangsa yang disasar sempena TMS2025 dapat dicapai menjelang hujung tahun ini.
“Setakat ini, 33 peratus pelancong antarabangsa direkodkan datang ke Selangor yang mana China paling ramai diikuti Singapura, Indonesia dan Jepun.
“Bagi pelancong antarabangsa mereka berbelanja sekitat RM4,068 manakala domestik pula RM668, namun kita jangka masa depan purata dibelanja meningkat RM5,000 seorang sekaligus menjana ekonomi Selangor,” katanya.
TMS2025 dijangka menarik lapan juta pelancong domestik dan antarabangsa dengan sasaran kutipan resit RM11.7 bilion.
Menurut Tourism Selangor, TMS2025 disasar menawarkan lebih 60 program dan acara dengan promosinya memberi penekanan khusus kepada beberapa segmen termasuk pelancongan eko, agro, seni dan budaya.
Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melancarkan iklan panel belakang bas Smart Selangor yang mempromosi lokasi pelancongan menarik di seluruh negeri sempena TMS2025.