ad
AGENSI

Zakat Selangor lancar dua kempen baharu, bantu penuhi keperluan asnaf

1 Mei 2025, 8:00 AM
Zakat Selangor lancar dua kempen baharu, bantu penuhi keperluan asnaf

OLEH MUHAMMAD HAZIQ ROSHIDI

SHAH ALAM, 1 MEI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) melancarkan dua kempen baharu, iaitu Jom Bantu Asnaf Setiap Bulan dan Suburkan Niagamu, bagi membantu memenuhi keperluan golongan asnaf.

Ketua Divisyen Kutipan LZS, Fikri Naim Harun berkata kempen itu dilancarkan bagi mencapai sasaran kutipan zakat RM1.328 bilion menjelang tahun 2025.

“Kempen Jom Bantu Asnaf Setiap Bulan dilaksanakan khusus bagi saluran potongan gaji dan juga potongan terus debit.

“Manakala kempen Suburkan Niagamu pula bertujuan menggalakkan syarikat, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta mikro menunaikan zakat perniagaan bersama LZS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Gembela Rakan Strategik Zakat Selangor 2025 (GRASIAZ), semalam.

Kedua-dua kempen itu telah bermula sejak Januari lalu dan akan berlangsung sehingga 31 Disember 2025.

Sementara itu, Fikri Naim berkata LZS mencatat kutipan zakat sebanyak RM1.22 bilion sepanjang tahun lalu, jumlah tertinggi dalam tempoh 10 tahun.

“Sebanyak 32 peratus daripada kutipan itu datang daripada majikan yang menguruskan potongan gaji, manakala 19 peratus diperoleh menerusi ejen kutipan,” katanya.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.