ad
AGENDA

Guru maut kereta dipandu terbabas di litar permotoran Melaka

28 Apr 2025, 10:39 AM
Guru maut kereta dipandu terbabas di litar permotoran Melaka

MELAKA, 28 APRIL: Guru lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas ketika melakukan aksi bagi mencatatkan masa terpantas dalam satu pertandingan perlumbaan kereta di Litar Permotoran Antarabangsa Melaka (MIMC), Durian Tunggal, di sini semalam.

Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata mangsa berusia 48 tahun yang beralamat di Taman Pulai Perdana, Negeri Sembilan, meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Melaka 10 malam tadi.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku kira-kira 5 petang ketika mangsa menyertai satu pertandingan perlumbaan kereta yang dianjurkan sebuah kelab permotoran.

“Mangsa yang memandu kereta Honda Civic dipercayai terbabas ke kiri jalan ketika melalui selekoh tajam di litar lumba berkenaan selepas hilang kawalan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala dikejarkan ke hospital sebelum meninggal dunia ketika dirawat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti sama ada kemalangan itu berpunca daripada pihak pengurusan litar, penganjur atau pemandu.

Dzulkhairi berkata setiap acara atau perlumbaan kereta yang dianjurkan perlu mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengelak berlakunya kemalangan yang mengakibatkan kecederaan atau kehilangan nyawa.

“Nahas maut di litar ini bukan pertama kali berlaku, justeru saya ingatkan kepada penganjur supaya memperketat SOP untuk peserta dan peserta juga perlu mematuhi peraturan ditetapkan, bukannya menggunakan litar itu untuk mempamerkan aksi masing-masing tanpa memikirkan aspek keselamatan,” katanya.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.