ad
AGENDA

Yayasan Peneraju tawar laluan pantas, bekerja seawal usia 21 tahun

27 Apr 2025, 11:00 AM
Yayasan Peneraju tawar laluan pantas, bekerja seawal usia 21 tahun
Yayasan Peneraju tawar laluan pantas, bekerja seawal usia 21 tahun

OLEH UFAIRAH TARMIDZI

SHAH ALAM, 27 APRIL: Yayasan Peneraju memperkenalkan program laluan pantas (fast track) untuk membantu pelajar lepasan sekolah Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memulakan kerjaya mereka seawal usia 21 tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju, Ibrahim Sani berkata sebanyak 2,000 kuota disediakan tahun ini bertujuan menjimatkan masa dan kos pendidikan, selain menawarkan jaminan peluang pekerjaan sebaik mereka tamat pengajian.

“Program pasca Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ini lagi cepat untuk mereka mendapatkan sijil melalui Asasi Perakaunan - Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) serta Sijil dalam Kewangan, Perakaunan dan Perniagaan (CFAB) - ICAEW.

[caption id="attachment_698656" align="aligncenter" width="699"] Antara orang ramai dan pelajar lepasan SPM yang hadir pada ‘Jom Explore! Why Not YP?’ di Auditorium MBSA, Shah Alam pada 27 April 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

“Mereka juga boleh mendapatkan gelaran profesional seperti akauntan bertauliah yang diiktiraf untuk memulakan kerjaya dengan lebih awal,” katanya kepada pemberita selepas sesi taklimat pensijilan di Auditorium MBSA, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata inisiatif itu bukan sahaja mempercepatkan proses peralihan ke alam pekerjaan malah memberi keyakinan kepada pelajar tentang masa depan mereka seiring dengan keperluan industri masa kini.

Beliau turut menggesa ibu bapa untuk memberi sokongan penuh kepada anak-anak agar mereka dapat memanfaatkan peluang ini dengan sebaiknya sekali gus dapat menangani isu pengangguran dalam kalangan graduan muda.

“Ibu bapa perlu memberi sokongan dan dokongan penuh terhadap keupayaan anak-anak mereka untuk melakukan yang terbaik.

“Saya risau kegusaran dan ketidakpercayaan dalam diri ibu bapa untuk memberi sokongan tersebut akan menjejaskan prestasi anak-anak mereka,” tambahnya.

Program Jom Explore! Why Not YP? merupakan kerjasama antara Yayasan Peneraju dan Kementerian Ekonomi turut menawarkan skim bantuan pembiayaan fleksibel kepada warganegara Bumiputera Malaysia dengan tiga pilihan merangkumi Silver: pembiayaan sehingga RM15,000; Gold sehingga RM30,000; dan Platinum (sehingga RM150,000).

Orang ramai boleh layari https://tinyurl.com/234p63n7 untuk pendaftaran bagi mengikuti siri jelajah Jom Explore! Why Not YP? yang diadakan di seluruh negara.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.