OLEH TEOH YEE SHEN
KLANG, 27 APRIL: Wakil rakyat Pandamaran menyokong langkah Majlis Bandar Diraja Klang (MBDK) melarang pemilik gerai makanan mengambil pekerja asing sebagai pembantu bermula 1 Jun ini.
Leong Tuck Chee berkata, larangan itu penting bagi melindungi kesihatan rakyat dan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
"Saya amat menyokong langkah pihak majlis yang akan menguatkuasakan larangan ini bermula 1 Jun dan saya menggesa ahli majlis untuk memantau pelaksanaan dasar ini dengan teliti.
"Jika berlaku kesukaran pengendali mendapatkan pekerja tempatan, kita boleh berbincang semula tentang kaedah pelaksanaan yang sesuai," katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau program pemeriksaan kesihatan percuma di Dewan Kompleks Sukan Pandamaran, hari ini.
Katanya, status imunisasi pekerja asing tidak dapat dipastikan, sekali gus meningkatkan risiko kesihatan termasuk jangkitan tuberkulosis (TB) yang semakin meningkat di negara ini.
Sehubungan itu, beliau amat menggalakkan rakyat tempatan, terutamanya daripada golongan berpendapatan rendah, untuk mengambil peluang bekerja di gerai atau kiosk untuk menjana pendapatan.
Selain itu, beliau turut mengingatkan agar pemilik gerai tidak menyalahgunakan kemudahan dengan menyewakan semula gerai pada kadar tinggi.
Terdahulu, MBDK memaklumkan lebih 100 unit kamera litar tertutup (CCTV) akan digunakan untuk memantau pelaksanaan larangan tersebut.