Oleh Asyraf Bakti
Yen, atau namanya dalam kad pengenalan juga Yen bin Abdul Halim berasa tidak sedap badan hari itu. Hendak dikata bos di tempat kerja memberi arahan bertimbun, semuanya sudah disiapkan. Rupa-rupanya rasa tidak sedap itu, datangnya dari dia menanti baris dalam talian untuk membeli tiket konsert Kumpulan SKRU. Ketika sedang menanti giliran, tetap juga ada rasa geram di hati. Setelah sekian lama menunggu konsert ini, sehinggalah dimomokkan dengan perpecahan kumpulan hingga seorang dari ahli mereka menubuhkan kumpulan NAT, lalu merujuk dan bersatu kembali pada hari raya tahun lepas. Tajuk akhbar digital, “Nat Skru, Bersatu” ternyata menjadi cerita tular pada hari itu dan dikongsikan sehingga lima juta pembaca digital.
Tahun ini, apabila diumumkan oleh vokalis kumpulan SKRU untuk mengadakan konsert buat kali terkahir, Yen terdiam dan hanya memandang jumlah akaun fleksibel di aplikasi Kumpulan Wang Sayang Pekerja (KWSPE). Dia yakin untuk laburkan duit yang ada sempena tanda penghargaan kepada kumpulan nyanyi tanpa auto-tuna yang pernah menyerikan hidupnya satu masa dahulu. Sedih kalau nak diputar kembali tetapi saat memandang skrin dan melihat waktu beratur berjalan, dan sedang memerhati tajuk-tajuk lagu yang akan dimainkan, pihak penganjur wajib melemparkan sepaket tisu buat semua dari siling stadium ketika konsert berlangsung.
Satu perkara lagi yang membuat Yen di dalam dilema serta suhu nafasnya 10 pada skala richter adalah tentang ketiadaan zon berdiri. Yen faham, 88 peratus yang akan pergi menghadap SKRU selama lebih kurang tiga jam lebih nanti bukanlah dari generasi-generasi kukuh lutut mereka. Ada yang sudah kehabisan minyak dan kemungkinan lokasi stadium yang ada akan bercampur bau arab, gamat Langkawi mahupun sejuk angin pudina.
Tinggal lagi lapan minit untuk beratur. Segala lirik yang pernah bermain dan dituturnya kini hanyalah sekadar janji tinggal janji. Sejak putus tunang pada tiga tahun lepas, Yen akur dengan takdir yang ada di depan mata. Dia mengerti tentang apa yang terjadi walaupun pada satu tahap, hampir dia tinggikan suara pada bekas tunangnya dengan sebaris kata keramat, inikah ertinya cinta?
Yen tak perlu jawapan. Dia hanya perlukan ketenangan kerana dia akur, di sebalik semua lelaki di dunia, pastinya didukung seorang wanita yang benar-benar mengerti suatu hari nanti. Sedang ralit melihat skrin, rakan pejabatnya, Diyana datang ke mejanya untuk mengajak makan tengah hari. Belum pernah dalam sejarah, Di (panggilan yang disuruh semasa baru-baru masuk tempat kerja) mengajaknya makan sekali.
Selalunya hanya diberi kuih lepat pisang ataupun donat Malaysia jika dia datang awal pagi. Tidaklah Yen mengesyaki apa-apa, tetapi dia perlu beri kata putus. Konsert SKRU ini penting, tetapi makan tengah hari yang belum pernah berlaku juga sepertinya memberi satu hikmah kepada Yen untuk dia tenang dan tidak terburu-buru, kerana ada khabar angin dari penganjur untuk menyambung lagi konsert ini sehingga tiga hari.
Tanpa berlengah, Yen cakap marilah tanpa ada sedikit keraguan yang bergetar di bibir. Di yang berdiri di tepi hanya membalas dengan 10 peratus senyuman. Di mulutnya, seperti ada tersimpan kata-kata tetapi dibiarkan saja. Di mukanya, seperti mahu luahkan resah seperti mahu berhenti kerja, tapi tak begitu ketara riak yang ada. Yen hanya ikut Di. Ke mana saja dia mahu makan, akan dia biarkan. Bercakap dari pengalamannya sehingga putus tunang, walaupun si perempuan bertanya dan mahu si lelaki menjadi pembuat keputusan, tetapi jika datang babak memilih tempat makan, tetaplah undian itu harus setuju walaupun yang dimakan itu dah dah lebih dari lapan kali seminggu. Sekadar contoh, Ayam Gepuk.
“Yen, makan ayam gepuk boleh ya? Dah lama Di tak makan.”
Yen telan air liur dan hanya senyum kura-kura. Ini yang malas sebenarnya bila hidup di alam algoritma ini. Baru saja terfikir sejenak secara nyata, sudah diberi cadangan kiri dan kanan. Yang terbaru sekali, adalah cadangan seluar jeans peha besar dan baju kain jaring akibat dari leretan demi leretan di alam digital untuk pembelian konsert SKRU. Yen duduk di kerusi sambil menghadap Di. Dia tak pasti lagi, tujuan sebenar Di ajaknya makan. Jikalau kata mahu membuat kejutan untuk memberi tiket percuma konsert SKRU agak mustahil, kerana melihat kepada perwatakan Di dan sembang-sembang sebelum ini, ianya lebih bertumpu kepada aroma dan irama seberang. Mungkin juga, ketika Yen sedang ralit melihat skrin laptop dan membuat kajian tentang SKRU beberapa hari sebelum, Di terlihat dan dia punya kabel untuk perkara itu. Tapi segalanya meleset, dan algoritma terkadang ada juga hari tidak mengena apabila ada mendapat soalan dari seorang perempuan bernama Di seperti ini: “Awak dah ada insurans ke belum Yen? Ianya terhangat di pasaran. Jangan ketinggalan, tawaran Istimewa. Insuran ini tengah jadi rebutan. Seratus peratus buatan Malaysia.”
Selesai saja sesi mukadimah, Yen bermonolog dalam hati. Sabar Yen sabar. Jangan lafazkan apa yang boleh melukakan perasaan. Tenang dulu, makan, bayar asing-asing dan baru jalan. Lepas itu, padam dan skru ketat-ketat nombor telefon apa yang patut.