SHAH ALAM, 27 APRIL: Hanya seorang anak bekas anggota GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di Selangor masih di pusat jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
EXCO kebajikan masyarakat berkata agensi itu akan memohon kebenaran mahkamah bagi memperoleh perintah tetap jagaan membabitkan remaja berumur 16 tahun berkenaan.
“Ada seorang lagi yang masih dalam jagaan kerana ada sedikit isu daripada pihak penjaga. Jadi di bawah perintah penjagaan akta kanak-kanak, JKM akan dapat kebenaran daripada mahkamah untuk diserah kepada orang yang layak.
“Kita akan teliti kembali sekiranya tiada penjaga yang ingin tuntut anak ini, perlu dapat kebenaran mahkamah untuk perintah tetap, tidak semestinya ahli keluarga tetapi juga boleh jadi dari pusat jagaan JKM,” kata Anfaal Saari.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penutup Seminar Pemerkasaan Ekonomi Penjagaan Selangor di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz, di sini semalam.
[caption id="attachment_698483" align="aligncenter" width="801"] EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari bersama bersama peserta program Seminar Pemerkasaan Ekonomi Penjagaan Selangor di Dewan Jubli Perak Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 26 April 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Media Selangor sebelum ini melaporkan, kanak-kanak yang diselamatkan dari premis jagaan GISBH dipulangkan ke pangkuan keluarga masing-masing secara berperingkat bermula awal tahun ini.
Menurut Anfaal, semua kanak-kanak dipulangkan kepada ibu bapa dengan syarat bon tanpa cagaran sebanyak RM500 dimana ia perlu dipatuhi dalam tempoh setahun atau sehingga kanak-kanak tersebut berumur 18 tahun.
Pada 10 September tahun lalu, polis menyerbu 20 premis GISBH di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan selepas mengesyaki kumpulan itu melakukan kesalahan dalam kegiatan pemerdagangan orang dan kesalahan lain.
Dalam Op Global itu, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan selain dipercayai menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan.