SHAH ALAM, 26 APRIL: Kerajaan Negeri tekad menyelesaikan isu kolam takungan Taman Seri Alam, Saujana Utama, Sungai Buloh dengan memastikan semua langkah mitigasi dan kerja penambahbaikan mengikut piawaian keselamatan demi kesejahteraan penduduk.
EXCO Infrastruktur Dato’ Ir Izham Hashim berkata beberapa langkah segera kini giat dilaksanakan antaranya termasuklah kerja pengorekan dan memperbetulkan kedudukan perangkap pengutip sampah di kolam takungan tersebut.
"Majlis Perbandaran Kuala Selangor bersama KDEB Waste Management telah melaksanakan kerja pembersihan, manakala pemaju pula menjalankan pembaikan sementara ke atas struktur tembok kolam yang rosak. Berdasarkan pemerhatian semasa, struktur tersebut kini dapat menampung aliran air biasa.
"Dalam masa sama, Jabatan Pengairan dan Saliran sedang dalam proses memuktamadkan langkah penyelesaian jangka panjang bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin sepenuhnya," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ir Izham menambah, proses libat urus penyelesaian jangka panjang dilaksanakan bersama dengan pihak perunding kejuruteraan pemaju dan juga wakil persatuan penduduk taman berkenaan.
"Ini bagi memastikan bahawa apa jua penyelesaian yang bakal dilaksanakan nanti bukan sahaja mengambil kira aspek teknikal, tetapi juga aspek sosial dan kemanusiaan bagi penduduk setempat.
"Kerajaan menjangkakan penyelesaian muktamad ini dapat dilaksanakana tidak lewat dari suku tahun ketiga 2025, sebelum monsun Timur Laut bermula," katanya.
[caption id="attachment_698073" align="aligncenter" width="775"] Pasukan bomba memantau keadaan di Taman Seri Alam, Saujana Utama selepas benteng kolam tadahan berhampiran kawasan perumahan itu pecah susulan hujan lebat berterusan sejak awal pagi pada 23 April 2025. Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor.[/caption]
Pada 23 April lalu, benteng kolam tadahan air di Taman Seri Alam sekali lagi pecah susulan hujan lebat sekitar 5.30 pagi menyebabkan banjir sehingga menjejaskan 35 kediaman di perumahan berkenaan.
Kejadian berkenaan berlaku hanya beberapa bulan selepas insiden sama pada Disember lalu dan merupakan kali ketiga ia sejak kolam tersebut dibina.