ad
AGENDA

PRK Ayer Kuning: Pengundian tamat, penjumlahan undi bermula

26 Apr 2025, 10:39 AM
PRK Ayer Kuning: Pengundian tamat, penjumlahan undi bermula

TAPAH, 26 APRIL: Proses pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning berakhir selepas kesemua 19 pusat pengundian yang dibuka sejak 8 pagi tadi, ditutup secara rasmi.

Sebanyak 18 pusat pengundian ditutup pada 6 petang ini, kecuali pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan Toh Tandewa Sakti yang ditutup lebih awal pada 4 petang.

Sejurus selepas pusat pengundian ditutup, kesemua peti undi daripada 63 saluran akan dibawa ke pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Merdeka, di sini.

Keputusan rasmi PRK berkenaan dijangka diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) seawal 9 malam.

Proses pengundian hari ini melibatkan 31,281 pengundi berdaftar bagi memilih wakil rakyat baharu kawasan itu.

Setakat 4 petang, SPR memaklumkan peratusan keluar mengundi adalah sebanyak 54 peratus.

Pada Selasa lepas, sebanyak 93.4 peratus daripada 500 anggota polis dan pasangan telah menunaikan tanggungjawab di dua pusat mengundi semasa proses pengundian awal PRK berkenaan.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan berikutan kematian penyandangnya Ishsam Shahruddin pada 22 Feb lepas akibat serangan jantung.

Ia menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Dr Mohamad Yusri Bakir, calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS.

- BERNAMA

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.