SHAH ALAM, 26 APRIL: Usaha mendapatkan penempatan alternatif untuk bekas penjawat awam yang mendiami kuarters Jabatan Hutan Negeri Selangor (JPNS), Sungai Buloh sebelum ini, sedang dilaksana.
Setiausaha Kerajaan Negeri berkata perbincangan bersama Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) serta agensi berkaitan sedang digerakkan bagi membantunya mendapat penempatan.
Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin menjelaskan, individu berkenaan tidak lagi berkhidmat dalam perkhidmatan awam sejak 2015, dan kediaman itu diperuntuk khusus untuk penjawat awam yang sedang berkhidmat.
“Tindakan pengosongan kuarters JPNS yang didiami bekas penjawat awam itu akan dilaksana secara berhemah dan mengikut tatacara undang-undang yang ditetapkan.
“Sepanjang tempoh ini, JPNS telah mengambil pendekatan berhemah dengan memberikan tempoh lanjutan serta peluang munasabah untuk beliau mengosongkan kuarters tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, walaupun peraturan dan undang-undang dalam pengurusan aset kerajaan adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromi, Kerajaan Negeri tetap prihatin terhadap aspek kebajikan individu terlibat.
“Individu ini juga menerima bantuan kewangan bulanan melalui Lembaga Zakat Selangor bagi meringankan beban sara hidupnya.
“Kerajaan Negeri beriltizam menguruskan semua aset awam secara bertanggungjawab sambil memastikan prinsip keadilan, integriti dan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan, tular di media sosial TikTok, video berdurasi lebih enam minit memaparkan individu berkenaan yang masih tinggal di kuarters JPNS walaupun telah menamatkan perkhidmatan awam sejak 2015.