SHAH ALAM, 25 APRIL: Terpengaruh dengan kehidupan mewah selebriti media sosial yang tidak memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) antara faktor menyumbang lebih 6,000 calon SPM 2024 tidak hadir menduduki peperiksaan itu.
Pakar Psikologi di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Khadijah Alavi berkata pelajar terbabit juga tidak mendapat bimbingan keluarga sehingga mengabaikan pendidikan yang sepatutnya menjadi tumpuan utama.
“Sebenarnya ada banyak faktor yang mendorong pelajar ini tidak ambil SPM, dan ia terbahagi kepada faktor dalaman dan luaran. Bagi faktor dalaman, sudah tentu keluarga adalah punca utama.
“Ibu bapa terlalu sibuk sehingga abaikan perjalanan hidup anak tersebut, dan anak itu kemudiannya mudah dipengaruhi selebriti di media sosial yang kaya, yang berpendapat pelajaran adalah tidak penting,” katanya kepada Media Selangor.
Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Psikologi dan Pembangunan Manusia UKM ini juga berpendapat perubahan kehidupan bermasyarakat juga mendorong pelajar mengambil mudah terhadap kepentingan peperiksaan SPM.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan semua pihak termasuk kerajaan, bersama membantu mengubah persepsi bahawa pendidikan sangat penting demi masa hadapan yang lebih baik.
“Sebenarnya pendidikan ini bukan sahaja demi kerjaya pada masa akan datang tetapi juga untuk keyakinan diri apabila dewasa. Pendidikan juga penting untuk peroleh keluarga yang harmoni,” katanya.
Kementerian Pendidikan semalam mengumumkan seramai 6,246 calon atau 1.8 peratus pelajar tidak hadir SPM 2024 berbanding 8,676 (2.5 peratus) pada SPM 2023.