AHMAD NAHAR SULAIMAN
KUALA SELANGOR, 24 APRIL: Pemaju kolam tadahan yang pecah di Taman Seri Alam, Saujana Utama dekat Sungai Buloh di sini digesa bertanggungjawab dan menangani isu berkenaan dengan segera agar kejadian sama dapat dinoktahkan.
Ahli Majlis Perbandaran Kuala Selangor Zon 23 Maisarah Ismail berkata ban berkenaan yang pecah buat kali ketiga semalam sekali lagi menjejaskan kehidupan dan harta benda penduduk kawasan perumahan berkenaan.
[caption id="attachment_680029" align="aligncenter" width="779"] Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) Maisarah Ismail bercakap kepada Media Selangor ketika tinjauan kolam tadahan pecah di Taman Seri Alam Saujana, Kuala Selangor pada 31 Disember 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
"Jika ia berlaku berulang-ulang, dibimbangi nyawa penduduk Taman Seri Alam dalam keadaan tidak selamat dan harta benda mereka juga terjejas kerana sering berdepan banjir,” katanya kepada Media Selangor.
Maisarah menambah, penduduk kini sudah hilang sabar dan menuntut agar kolam tadahan berkenaan segera ditutup bagi mengelakkan insiden sama berulang sekali gus menjamin keselamatan nyawa dan harta benda mereka.
Beliau berkata tuntutan penduduk itu bagaimanapun perlu dirujuk kepada beberapa pihak dan pakar teknikal khususnya Jabatan Perngairan dan Saliran (JPS) sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.
Semalam, benteng kolam tadahan air di Taman Seri Alam sekali lagi pecah susulan hujan lebat sekitar 5.30 pagi menyebabkan banjir sehingga menjejaskan 35 kediaman di perumahan berkenaan.
Kejadian berkenaan berlaku hanya beberapa bulan selepas insiden sama pada Disember lalu dan merupakan kali ketiga ia sejak kolam tersebut dibina.
[caption id="attachment_698276" align="aligncenter" width="813"] Pasukan bomba memantau keadaan di Taman Seri Alam, Saujana Utama selepas benteng kolam tadahan berhampiran kawasan perumahan itu pecah susulan hujan lebat berterusan sejak wal pagi pada 23 April 2025. Foto Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor[/caption]
Maisarah berkata kerja pembaikan ban dijalankan oleh pemaju MKH Berhad selepas kejadian Disember lalu dengan menanam cerucuk besi sebagai langkah sementara.
Katanya, pihak pemaju turut memberi jaminan ban berkenaan tidak pecah sementara menunggu kelulusan kerja infrastruktur kekal daripada JPS.
“Saya telah merujuk perkara ini kepada JPS sejak Februari lalu. Mereka telah membentangkan reka bentuk pembaikan dan pemulihan, tetapi reka bentuk tersebut tidak diluluskan kerana tidak memenuhi standard keselamatan.
"JPS memulangkan semula cadangan reka bentuk itu kepada pemaju kerana tidak mahu mengambil risiko terhadap keselamatan penduduk," katanya.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak MKH Berhad atau JPS berhubung kejadian terbaru ini.