ad
AGENDA

Program tuisyen percuma bantu tingkat bilangan pelajar SPM raih semua A

24 Apr 2025, 7:02 AM
Program tuisyen percuma bantu tingkat bilangan pelajar SPM raih semua A

SHAH ALAM, 24 APRIL: Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dikenal pasti sebagai antara penyumbang utama peningkatan bilangan pelajar di Selangor yang memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Sri Amirudin Shari berkata langkah intervensi menerusi program membantu peningkatan gred cemerlang dari 2,368 (3.65 peratus) tahun ini banding 2,005 calon (3.15 peratus) pada tahun lalu.

“PTRS menumpukan kepada pelajar dari golongan berpendapatan rendah (B40) dan mereka yang tidak mampu untuk pergi ke tuisyen.

“Ia merupakan usaha berterusan Kerajaan Negeri memberi motivasi dengan memberikan berikan akses pendidikan tambahan untuk memastikan paling asas mereka memiliki sijil SPM,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pengumuman keputusan SPM di Jabatan Pendidikan Negeri Selangor di sini, pagi tadi.

Amirudin yang juga EXCO pendidikan negeri turut berbangga dengan rekod penurunan jumlah calon yang tidak menghadiri peperiksaan tersebut untuk tahun ini.

“Jumlah mereka yang tidak hadir juga berkurangan dari tahun sebelumnya, di 2022 mempunyai 2,387 manakala 2023 pula 1,700 dan tahun ini turun lagi kepada 1221.

“Peningkatan prestasi mata pelajaran elektif Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) juga membanggakan. Justeru, Kerajaan Negeri akan menambah baik PTRS melalui penambahan subjek dan jumlah pelajar,” katanya lagi.

PTRS peringkat sekolah rendah memfokuskan murid kelas pemulihan untuk menguasai kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M).

PTRS bagi pelajar tingkatan empat dan lima adalah bantuan kelas tambahan bahasa Melayu, bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan Matematik Tambahan. Program tersebut menyasarkan pelajar dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah yang prestasi pelajaran sederhana atau lemah.

Pada 13 Ogos lalu, Kerajaan Negeri turut melancarkan aplikasi e-PTRS yang menyasarkan 200,000 pelajar mendapat manfaat teknologi baharu itu. Pengenalan aplikasi pembelajaran berkenaan antara penambahbaikan PTRS yang wujud sejak 2008.

Belanjawan Selangor 2025 memperuntuk RM10 juta bagi melaksanakan PTRS melibatkan pelajar tingkatan empat dan lima manakala RM1 juta untuk program intervensi literasi dan numerasi di sekolah rendah.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.