ad
BERITA UTAMA

Tonton telefilem raya terbitan Kerajaan Negeri di SelangorTV malam ini

22 Apr 2025, 6:37 AM
Tonton telefilem raya terbitan Kerajaan Negeri di SelangorTV malam ini

SHAH ALAM, 22 APRIL: Orang ramai berpeluang menonton telefilem khas sempena Aidilfitri bertajuk Hanya Kita terbitan Kerajaan Negeri menerusi saluran SelangorTV jam 9 malam ini.

Telefilem Hanya Kita yang juga boleh ditonton menerusi saluran MTV Mana-Mana mengetengahkan mesej kekeluargaan yang menyentuh perasaan serta sesuai dengan semangat Syawal yang penuh nilai kasih sayang dan pengorbanan.

Karya arahan Che Mie itu memaparkan kisah dua kanak-kanak yang menjadi yatim piatu setelah kehilangan ibu bapa mereka dalam satu kemalangan tragis. Dengan naratif yang penuh emosi dan nilai kemanusiaan, telefilem ini dijangka memberikan kesan mendalam kepada penonton.

Menariknya, telefilem Hanya Kita turut menampilkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama beberapa EXCO Kerajaan Negeri.

Telefilem berdurasi 90 minit ini turut dibintangi barisan pelakon hebat seperti Ungku Ismail, Christina Suzanne, Ropie, Mikael Noah dan Haifa Halina.

Telefilem berkenaan turut mempromosi inisiatif negeri yang memberi manfaat kepada rakyat Selangor daripada bayi hingga warga emas.

Sejak 2021, Kerajaan Negeri menggunakan pengaruh selebriti bagi memperkenal inisiatif rakyat. Pada tahun berkenaan, Senandung Aidilfitri pertama kali disiarkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan.

Tahun berikutnya ia diteruskan dengan menampilkan artis terkenal antaranya Ziana Zain, Sissy Imann, Elyana Emrizal, Raja Azura, Bell Ngasri dan Azlee Senario.

Syawal seterusnya Selangor pertama kali muncul dalam kaca televisyen siaran perdana dengan mempertaruhkan drama lakonan seniwati popular, Erra Fazira bertajuk Selalu Ada.

Telefilem seterusnya bertajuk Ayah Panggil Balik diterbitkan menampilkan nama-nama besar seperti Zaidi Omar, Fazlina Ahmad Daud, Syafie Naswip, Ropie dan Datuk Ahmad Tarmimi Siregar.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.