ad
AGENSI

Kebakaran Putra Heights: PKNS sedia beri bantuan sewaan rumah sementara

17 Apr 2025, 1:00 PM
Kebakaran Putra Heights: PKNS sedia beri bantuan sewaan rumah sementara

OLEH AIDA NYAN

SHAH ALAM, 17 APRIL: Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bersedia memberi bantuan sewaan rumah sementara kepada mangsa kebakaran saluran gas di Putra Heights, Subang Jaya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Dato' Mahmud Abbas berkata pihaknya telah berbincang dengan Kerajaan Negeri untuk melaksanakan inisiatif itu melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

"Kami faham mangsa masih ada komitmen yang perlu dibayar. Jadi kami akan tawarkan rumah tersebut pada harga lebih murah daripada pasaran atau bawah kos dan kami tidak akan ambil sebarang keuntungan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Jalinan Aidilfitri PKNS di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini, hari ini.

Jelas Mahmud, segala proses permohonan dan tawaran berkaitan sewaan itu diuruskan oleh kerajaan negeri serta Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

Tambah Mahmud, pihaknya juga akan mempertimbangkan untuk menukar tawaran tersebut kepada skim sewa-untuk-beli (rent-to-own) jika mangsa berhasrat untuk terus menetap di rumah yang ditawarkan.

Beliau berkata antara lokaliti boleh ditawarkan adalah di Seksyen 6, 7 dan 13 Shah Alam selain di Kuala Lumpur meliputi pelbagai bentuk kediaman antaranya pangsapuri, kondominium, rumah teres, semi-D dan banglo.

Terdahulu, beliau menyerahkan sumbangan RM1 juta kepada mangsa insiden Putra Heights menerusi Tabung Selangor Prihatin pada Majlis Jalinan Aidilfitri PKNS disaksikan Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.