SHAH ALAM, 15 APRIL: Kepimpinan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai ahli parlimen Kepala Batas selama tujuh penggal berjaya membangunkan pekan kecil kepada bandar maju.
Pengerusi kariah Masjid Al Jamiul Badawi berkata penduduk kawasan itu menikmati pelbagai kemudahan terbaik demi kemakmuran dan jasa Allahyarham sentiasa dikenang, lapor Berita Harian.
"Sepanjang tempoh perkhidmatannya, Kepala Batas merasai kemakmuran. Kita tengok Kepala Batas berubah daripada sebuah 'pekan koboi' menjadi bandar (maju).
"Kita menikmati jasa beliau sebagai seorang pemimpin, ahli parlimen selama tujuh penggal dan perdana menteri. Ia akan diingati seluruh warga Kepala Batas," kata Datuk Shariful Azhar Othman.
Tambahnya, Masjid Al Jamiul Badawi yang berusia lebih 200 tahun didirikan nenek moyang Pak Lah dan masih tersergam indah untuk kegunaan umat Islam di Kepala Batas.
Malah, katanya, jenazah datuk dan ibu bapa Allahyarham Tun Abdullah turut disemadikan di tanah perkuburan masjid berkenaan sekali gus menyimpan kenangan kepada keluarga dan penduduk.
"Apabila kita melihat mimbar berusia lebih 100 tahun dalam masjid ini, ia digunakan tiga generasi bermula dari datuk Allahyarham, bapanya dan Pak Lah sendiri untuk menyampaikan khutbah.
“Mimbar itu tidak pernah langsung diubah atas permintaan Pak Lah sendiri,” katanya.
Allahyarham Tun Abdullah dipilih sebagai wakil rakyat Kepala Batas pada 1978 dan memegang kerusi tersebut selama 35 tahun sehingga 2012.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Institut Jantung Negara pada jam 7.10 petang semalam dan disemadikan mengikut Istiadat Pengebumian Negara di Makam Pahlawan, Kuala Lumpur.