ad
AGENDA

Jualan tiket perlawanan Manchester United di Bukit Jalil dibuka 11 pagi esok

14 Apr 2025, 3:19 PM
Jualan tiket perlawanan Manchester United di Bukit Jalil dibuka 11 pagi esok

KUALA LUMPUR, 14 APRIL: Tiket perlawanan persahabatan yang dinanti-nantikan antara gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United dan ASEAN All-Stars di Stadium Nasional Bukit Jalil 28 Mei ini dijangka terjual dengan pantas apabila jualan umum dibuka mulai 11 pagi esok.

Penganjur jualan tiket, ShekhinahPR, menasihatkan peminat agar segera mendapatkan tiket melalui laman web rasmi www.ticketingempire.com, yang dijual pada harga antara RM50 hingga RM1,500, berikutan permintaan tinggi semasa akses awal dan sambutan luar biasa dari peminat seluruh rantau ini.

“Malaysia, inilah detik anda. Jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan Manchester United beraksi secara langsung di Bukit Jalil. Jadi sebahagian daripada sejarah — dapatkan tiket anda dan cipta kenangan bersama,” kata kenyataan penganjur hari ini.

Juara EPL 13 kali itu kali terakhir beraksi di Malaysia pada siri jelajah pra-musim 2009, di mana mereka menewaskan pasukan pilihan Malaysia dua kali di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Manchester United juga dijadualkan berkunjung ke Hong Kong untuk perlawanan menentang skuad kebangsaan negara itu di Stadium Hong Kong pada 30 Mei, sebelum bertemu Leeds United di Stockholm pada 19 Julai.

Siri jelajah musim panas EPL akan diteruskan di Amerika Syarikat, di mana Manchester United bakal menentang West Ham United (26 Julai), Bournemouth (30 Julai) dan Everton (3 Ogos).

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.