SHAH ALAM, 13 APRIL: Gagasan Rumpun Selangor (GRS) diteruskan ke Gombak minggu depan sekali gus menjadi daerah terakhir bagi fasa ini, kata EXCO perpaduan.
Datuk Rizam Ismail berkata Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor dijadual menyertai program selama tiga hari bermula 16 hingga 18 April ini.
“Ini merupakan daerah ke sembilan dan terakhir jadi kita harapkan kemeriahan memandangkan ia berlangsung pada musim perayaan. Ada acara perasmian balai polis yang akan disempurnakan Tengku Amir Shah.
[caption id="attachment_678434" align="alignleft" width="354"] EXCO Perpaduan Datuk Rizam Ismail[/caption]
“GRS 2.0 akan diteruskan namun ketika ini perbincangan berhubung tema dan pelaksanaannya masih dibincang bersama pihak istana,” katanya ketika Majlis Tautan Kasih Komuniti Sabak Bernam di Bagan Nakhoda Omar, Sungai Air Tawar hari ini.
Pada majlis berkenaan yang turut dihadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, lebih 10,000 tetamu yang kebanyakannya merupakan penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri Sungai Air Tawar turut serta memeriahkan majlis.
Selain menyediakan pelbagai juadah makanan, Rizam berkata pihaknya menawarkan hadiah berupa pakej menunaikan umrah bagi acara cabutan bertuah.
“Setiap tahun memang ada cabutan bertuah namun kali ini kiat sediakan pakej umrah. Hadiah ditawarkan kepada seorang pemenang,” katanya.