Oleh FATHI ARIS OMAR
Di tengah bencana, watak sebenar manusia terbongkar. Bukan sahaja ledakan paip gas itu membongkar tanah dan mengeluarkan julangan api besar tetapi baik buruk manusia juga terserlah.
Tragedi kebakaran besar saluran paip gas di tepi Taman Putra Harmoni, Subang Jaya menzahirkan sisi baik rumah ibadat, kuil dan masjid, yang menjadi tempat berlindung.
Walau hujung Ramadan dibakar sentimen kaum akibat pembinaan masjid dan pemindahan kuil di tengah Kuala Lumpur tetapi bencana 2 Syawal mendedahkan rumah ibadat tempat mangsa berteduh.
Kuil Sri Maha Kaliamman menerima mangsa cedera ringan, seperti melecur, luka dan sukar bernafas sebelum dihantar ke hospital. Surau Nurul Iman dan Masjid Putra Heights dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS).
Sejak pagi 1 April yang mengejutkan itu, Masjid Putra Heights terus menampung penduduk Taman Putra Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru.
Pada hari kejadian, 180 orang berteduh dan dirawat di sini tetapi seminggu kemudian tinggal lagi hampir 90 orang (9 April). Semua ini menunjukkan kuil dan masjid bukan ruang persengketaan.
Malah, lebih dramatik, sekumpulan pekerja asing terjun ke Sungai Klang untuk menyelamatkan lebih 10 penduduk Kampung Kuala Sungai Baru yang berendam di situ bagi mengelak kesan bahang api tersebut.
Walau pekerja asing sering dipandang sebelah mata, lima warga Pakistan menjadi wira kemanusiaan apabila mereka terjun dari tebing Kampung Sri Aman untuk menyelamat keluarga di seberang.
Amir Nawab, 48, berkata mereka segera membantu selepas melihat ada penduduk dari Kampung Kuala Sungai Baru, yang terkapai-kapai seperti hendak lemas ketika cuba menyeberangi sungai.
"Kami nampak di sana orang jerit 'tolong, tolong'. Apabila kita sampai bawah sini, (rakan saya) sudah terjun ke sungai," katanya seperti dilapor Sinar Harian.
"Kita nampak ada budak, bahaya sebab arus kuat. Kami tarik mereka, kawan lain dukung kanak-kanak. Niat kita mahu tolong, ikhlas. Kita tengok orang susah, mahu tolong."
Namun, tidak semua kebaikan muncul. Ada juga yang suka mengambil kesempatan dengan menyebarkan fitnah, berita palsu dan spekulasi negatif. Usaha menyelamat mangsa dan memulih kehidupan tidak dibantu dengan maklumat negatif.
Pada 6 April, polis menafikan kandungan media sosial yang mendakwa satu kematian tetapi cuba disorokkan. Dua hari kemudian, polis sekali lagi menegaskan tiada kematian dalam tragedi ini tetapi maklumat palsu terus tersebar.
Tidak sembunyi fakta
Setakat 8 April, hanya tinggal seorang di unit rawatan rapi (ICU) akibat melecur teruk dan 38 lagi masih dirawat. Jumlah asalnya 150 orang dengan tiga orang di ICU tetapi sebahagian besar berjaya dirawat.
Di lokasi kejadian dan kawasan sekitar, tiada mayat ditemui. Di dalam kawah letupan tersebut, antara Taman Putra Harmoni dengan Kampung Kuala Sungai Baru, polis belum memulakan siasatan.
Kawah tersebut, setakat 8 April, sedang dikeringkan dan tanah yang longgar akibat ledakan besar sedang dipadatkan untuk kerja-kerja mencari bukti.
Polis syak sebuah jentera (bertanda J dalam lakaran) tertimbus tetapi setakat ini tiada pengesahan. Persoalan ini menjadi pertikaian di media sosial apabila kerajaan ditohmah cuba menyembunyikan fakta.
Padahal, siasatan belum dimulakan di situ. Pasukan polis yang dibantu pasukan teknikal Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Mineral dan Geosains dan juga Petronas.
Siasatan awal sudah dimulakan di tepi jalan yang merentasi kawasan rizab saluran paip gas. Di sini, polis mendapati kerja pembentungan sedalam 2.1 meter, lebar 1.5 meter dan panjangnya 30 meter.
Sementara paip gas ditanam sedalam 5.6 meter. Sebab itu, pada 6 April, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mendedahkan "keadaan fizikal paip gas tidak menunjukkan sebarang gangguan nyata."
"Jalan yang merentasi laluan paip gas Petronas ini adalah jalan yang diluluskan," katanya.
Namun pengguna media sosial tentunya tidak berpuas hati. Mereka mempertikai polis pula dengan mendakwa pihak berwajib itu cuba menyorok nama kontraktor dan pemaju rumah kedai di tepi laluan paip gas tersebut.
Begitu juga kenyataan polis pada 4 April yang mendedahkan kerja tanah di situ sudah dihentikan pada 30 Mac, sehari sebelum cuti Aidilfitri atau dua hari sebelum letupan besar itu.
Pengguna media sosial mendakwa wujud jentera di tepi rumah kedai tersebut melalui rakaman kamera papan pemuka (dashcam) pada 1 April. Tetapi rakaman itu tidak menunjukkan kerja sedang dibuat atau pergerakan jentera tersebut.
Mereka juga mengabaikan maklumat awal polis yang menyebut kerja tanah di kawasan itu terletak kira-kira 30 meter dari titik kebakaran. Sebaliknya mereka terus berpegang pada tanggapan awal yang tidak sahih.
Dalam bidang psikologi, gejala ini disebut "confirmation bias" atau sikap berpegang pada apa yang sedia diketahuinya dan enggan mengubah pendirian apabila muncul maklumat baharu yang lebih sahih.
Dalam bidang kajian media dan budaya pula, gejala ini disebut "post-truth" atau sikap seseorang yang tidak mampu berfikir rasional berdasarkan fakta, sebaliknya bergantung pada sentimen dan selera sendiri.
Dalam menanggapi bencana, siasatan pihak berkuasa dianggap rasmi dan lebih sahih berbanding tohmahan, fitnah atau maklumat yang tidak dapat disahkan.
Masyarakat yang percaya pada spekulasi atau berdegil dengan tanggapan sendiri, walau ada fakta sahih, boleh dianggap satu "bencana budaya" di tengah tragedi sebesar ledakan api di Putra Heights.
Namun, usaha ikhlas kuil, masjid dan pekerja asing itu memberi harapan. Bahawa di tengah bencana, masih ada jiwa yang jujur saling membantu demi kesejahteraan bersama.
[caption id="attachment_695328" align="aligncenter" width="1192"] Keadaan kawasan insiden kebakaran saluran paip gas ketika tinjauan di Putra Heights, Subang Jaya pada 6 April 2025. Kebakaran turut mewujudkan kawah besar di kawasan itu. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR.[/caption]