OLEH DEWI ABDUL RAHMAN
SUBANG JAYA, 11 APRIL: Trauma, sedih dan rasa tertekan antara luahan yang paling banyak diterima Pusat Kaunseling Selangor daripada mangsa kejadian letupan paip gas di Putra Heights.
Kaunselornya, Mohd Yaakup Mad Napiah berkata sejak kaunter kaunseling dibuka semalam, ramai yang datang bertanya tentang peranan pusat itu di samping meluahkan perasaan yang terbuku di hati mereka.
"Kami membuat sesi kaunseling untuk melihat kekuatan mangsa apabila berdepan situasi kritikal begitu, harap mereka boleh meneruskan hidup dan melihat apa yang berlaku dari sudut positif" ujarnya.
Katanya, emosi mangsa yang pada awalnya terganggu juga dilihat mulai pulih walaupun masih dalam keadaan trauma.
"Ada seorang mangsa bertemu saya kerana terlalu memikirkan peristiwa hitam yang memberi kesan pada hidupnya sekeluarga, namun akhirnya setelah diberi penerangan, dia terima ketentuan itu dan meneruskan hidup dengan harapan baharu.
"Kami sangat menggalakkan mereka yang perlukan khidmat psikososial untuk datang berjumpa dengan kaunselor kami dan boleh juga ke Pusat Kaunseling Selangor di kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Shah Alam sekiranya mahu lanjutkan sesi kaunseling," tambahnya.
Meurut Yaakup, khidmat kaunseling yang ditawarkan bukan hanya untuk mangsa namun terbuka kepada umum termasuk petugas yang berada di lapangan.
"Selain mangsa, pekerja-pekerja sosial yang mungkin turut melalui tahap keletihan ketika membantu juga boleh datang jumpa kami.
"Apa yang mereka perlukan adalah dari segi khidmat nasihat sokongan sosial, semangat ketika berada di sini," tambahnya ketika ditemui Media Selangor.
Insiden kebakaran saluran paip gas Petronas pada 8.10 pagi itu menyebabkan api marak setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan memakan masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.