AGENDA

Tiada kematian dalam tragedi saluran gas meletup di Putra Heights - KKM

10 Apr 2025, 6:10 AM
Tiada kematian dalam tragedi saluran gas meletup di Putra Heights - KKM

SHAH ALAM, 10 APRIL: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan tidak menerima laporan kematian membabitkan insiden kebakaran saluran gas di Putra Heights seperti tular di media sosial.

KKM dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya tidak menerima laporan berhubung perkara itu daripada mana-mana fasiliti kesihatan awam atau swasta.

Susulan itu, satu laporan polis dibuat dan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) turut dimaklumkan mengenai perkara berkenaan.

"KKM mengambil maklum berkenaan beberapa komen di media sosial berkenaan kematian terkait insiden terbabit. Namun, ditegaskan KKM tidak menerima sebarang laporan daripada mana-mana fasiliti kesihatan awam atau swasta berkenaan hal ini," katanya.

KKM mengingatkan pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan komen tidak benar sehingga menimbulkan kegusaran awam akan diambil tindakan mengikut undang-undang.

Sementara itu, KKM berkata, sehingga jam 12.30 tengah hari semalam, jumlah mangsa dirawat di seluruh hospital dan klinik berikutan insiden itu adalah seramai 150 orang.

Katanya, seramai 112 daripada jumlah itu sudah dibenarkan keluar hospital, 38 orang masih menerima rawatan di wad hospital iaitu 17 di fasiliti KKM dan 21 di fasiliti kesihatan swasta tanpa kemasukan baharu.

"Seorang pesakit masih menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital swasta dan kesihatannya semakin menunjukkan kemajuan," katanya.

Daripada 150 orang itu, seramai 127 mangsa mengalami kecederaan langsung daripada insiden seperti luka kebakaran atau kecederaan fizikal lain.

KKM menyeru orang ramai agar terus mendoakan kesembuhan mangsa dan menyokong mereka yang terkesan untuk meneruskan kehidupan seperti biasa.

"KKM turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak atas sepenuh kerjasama yang diberikan bagi membolehkan respons dan rawatan segera berjaya diberikan pada hari kejadian," katanya.