BERITA UTAMA

Dapur Masjid Putra Heights operasi 17 jam sehari bantu wira lapangan

10 Apr 2025, 1:00 AM
Dapur Masjid Putra Heights operasi 17 jam sehari bantu wira lapangan

SUBANG JAYA, 10 APRIL: Seawal jam 5 pagi pasukan sukarelawan Masjid Putra Heights sudah bersiap di dapur menyediakan makanan untuk petugas barisan hadapan dalam operasi bantuan susulan letupan paip gas di Putra Heights, baru-baru ini.

Dapur masjid yang beroperasi sehingga jam 10 malam setiap hari itu, menjadi nadi penting memastikan keperluan makanan anggota penyelamat, sukarelawan dan media yang bertugas di lapangan terus terjaga.

Ketua pasukan memasak Abdul Aziz Abdullah berkata penyediaan makanan dilakukan bergantung kepada bahan mentah yang diterima daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sumbangan orang ramai.

“Menu yang sering mendapat permintaan ialah nasi lemak dan teh tarik. Namun, jika tiada bahan untuk nasi lemak, kami sediakan menu lain seperti bihun goreng, roti telur atau roti john,” katanya ketika ditemui.

Abdul Aziz, yang juga seorang jurutera memaklumkan mereka tidak menyediakan makanan untuk mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) kerana keperluan itu dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Sebaliknya, pasukan masjid memberi tumpuan kepada keperluan petugas yang menjalankan operasi tanpa henti sejak hari pertama kejadian.

Beliau berkata, ini bukan kali pertama mereka berdepan situasi seperti ini kerana masjid berkenaan pernah dijadikan PPS ketika kejadian banjir besar pada 2021 dan 2022.

“Kami sudah terbiasa menyediakan makanan dalam kuantiti besar. Bahkan sepanjang Ramadan, masjid ini menjadi lokasi utama penyediaan juadah berbuka puasa,” katanya.

Letupan saluran gas yang berlaku di Jalan Putra Harmoni pada minggu lalu mengakibatkan lebih 1,200 penduduk daripada 308 keluarga terjejas, termasuk 87 rumah yang mengalami kerosakan serius.