SUBANG JAYA, 9 APRIL: Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) meluangkan masa hampir dua jam menyantuni mangsa letupan saluran gas Petronas di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights, dekat sini.
Yang Dipertuanya Datin Seri Masdiana Mohamad berkata kehadiran bersama Persatuan Taska Selangor serta beberapa wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu merupakan tanda sokongan kepada mangsa yang berdepan peristiwa malang.
“Kita berjumpa dengan mangsa dan memberikan sokongan moral. Kadang-kadang mereka ini bukan hanya nak barangan sahaja sebaliknya mahukan sokongan untuk terus bangkit.
[caption id="attachment_695831" align="aligncenter" width="715"] Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) Datin Seri Masdiana Muhamad memberi kata-kata semangat kepada kanak-kanak yang menjadi mangsa kejadian kebakaran saluran paip gas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights, Subang Jaya pada 9 April 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
“Jadi hari ini kita dengar luahan mereka. Kita berikan kata-kata semangat kerana mereka masih dalam keadaan sedih dan terkejut. Mereka juga luahkan rasa syukur dengan bantuan disumbang pelbagai pihak.
“Bantuan tidak dapat sekali gus namun boleh (tampung) enam bulan pertama untuk memulakan kehidupan baharu. Saya harap semua pihak akan memberikan sokongan kepada mangsa,” katanya.
Ditemui selepas lawatan berkenaan, Masdiana berkata pihaknya turut menyerahkan alatan melukis dan mewarna serta bahan bacaan kepada kanak-kanak selain sejadah dan telekung untuk golongan dewasa.
[caption id="attachment_695833" align="aligncenter" width="716"] Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis) Datin Seri Masdiana Muhamad menyerahkan alatan melukis dan mewarna serta bahan bacaan kepada kanak-kanak
yang menjadi mangsa kejadian kebakaran saluran paip gas di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights, Subang Jaya pada 9 April 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
“Bantuan ini nampak biasa tetapi akan beri kegembiraan kepada mereka. Kita turut berikan sejadah dan telekung kepada mangsa dewasa. Minggu lalu kita sumbangkan baju raya,” katanya.
Kebakaran saluran gas Petronas pada 8.10 pagi pada minggu lalu menyebabkan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.