BERITA UTAMA

509 mangsa kebakaran Putra Heights terima bantuan tunai mulai esok

6 Apr 2025, 8:40 AM
509 mangsa kebakaran Putra Heights terima bantuan tunai mulai esok
509 mangsa kebakaran Putra Heights terima bantuan tunai mulai esok

SUBANG JAYA, 6 APRIL: Bantuan tunai sebanyak RM5,000 akan disalurkan kepada pemilik rumah yang rosak akibat kebakaran saluran paip gas di Putra Heights, manakala RM2,500 diberi kepada mangsa yang terkesan mulai esok.

EXCO Kebajikan Anfaal Saari berkata sebanyak 509 keluarga yang terjejas telah mendaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hingga hari ini.

“509 ini juga termasuk mereka yang tidak berada di pusat pemindahan sementara (PPS) contohnya yang tinggal di rumah keluarga lain.

“Untuk rekod penting untuk kita mengenal pasti semua mangsa ini, untuk memudahkan penyerahan bantuan awal dari persekutuan dan Kerajaan Negeri,” katanya ketika ditemui di PPS Masjid Putra Heights.

[caption id="attachment_695227" align="alignleft" width="500"] EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfal Saari di Putra Height
pada 06 April 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan Persekutuan dan Petronas akan menyalurkan wang tunai tersebut kepada mereka yang terkesan dalam kejadian.

Menurut Anwar, bantuan ini bertujuan untuk meringankan beban mangsa bagi perbelanjaan sementara.

Dalam perkembangan lain, Anfaal memaklumkan seramai 121 keluarga masih lagi menginap di kedua-dua PPS iaitu Masjid Putra Heights dan Dewan Serbaguna Camelia Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

“Dewan Camelia menempatkan 24 keluarga manakala di sini (Masjid Putra Heights) pula 97 keluarga.

“Saya ucapkan terima kasih kepada pelbagai pihak seperti badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan yang tidak putus datang sejak hari pertama menghulurkan bantuan,” ujarnya.