Oleh Rafiqah Rauf
SUBANG JAYA, 5 APRIL: Seramai 15 sukarelawan Team Selangor turun padang membantu kerja-kerja pembersihan di kawasan perumahan yang terjejas akibat insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights.
Menurut Ketua Operasi Team Selangor, Sadina Suffian jumlah sukarelawan yang terlibat ditetapkan oleh pihak berkuasa sebagai langkah keselamatan.
“Buat masa ini, hanya 15 orang dibenarkan untuk masuk ke kawasan pembersihan. Kami akur dengan ketetapan yang diberikan pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.
[caption id="attachment_695118" align="aligncenter" width="698"] Sukarelawan Team Selangor melakukan pembersihan di kawasan perumahan yang terjejas akibat insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights pada 5 April 2025. Foto Team Selangor[/caption]
Beliau turut menjelaskan kerja-kerja pembersihan melibatkan pembuangan tanah dan sampah sarap yang terhasil akibat kebakaran yang berlaku pada 1 April lalu.
“Mereka membersihkan laluan yang menghampiri 'ground zero', khususnya jalan-jalan masuk ke kawasan perumahan,” tambahnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Sadina menyeru orang ramai yang berminat untuk menjadi sukarelawan agar mendaftar melalui laman Facebook Team Selangor di pautan berikut: https://bit.ly/sukarelawanbencanaTS.
“Kepada rakyat yang prihatin dan ingin menyumbang tenaga sebagai sukarelawan, bolehlah mengikuti perkembangan dan maklumat terkini melalui Facebook atau Telegram rasmi Team Selangor,” katanya.