SHAH ALAM, 5 APRIL: Sebanyak lima pengangkutan khas disediakan kepada anak-anak mangsa letupan gas Putra Heights bagi meneruskan sesi persekolahan pada Isnin ini.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata semua kenderaan terbabit disediakan dengan kerjasama Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana), membabitkan penghantaran ke 34 sekolah.
“Jawatankuasa Pengangkutan Awam Negeri akan sediakan lima pengangkutan untuk pelajar pergi sekolah. Ini akan diselang seli dengan tambahan yang diperlukan.
“Ada 34 sekolah yang perlu dihantar dan kita akan cuba tambah dari masa ke semasa. Pusat penghantarannya dari pusat pemindahan sementara (PPS) dan perlu rujuk kepada ketua PPS masing-masing,” katanya pada sidang media.
Terdahulu, beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri kali ke-3 yang turut dihadiri Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan di bangunan pentadbiran negeri di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Amirudin mengumumkan semua bantuan akan diserahkan kepada mangsa bermula Isnin ini, membabitkan 509 keluarga yang telah berdaftar dengan PPS setakat hari ini.
Menurutnya, jumlah tersebut meningkat berikutan ada mangsa yang baharu pulang dari berhari raya di kampung halaman selain sebahagiannya tidak tinggal di PPS.
“Kerajaan Negeri menasihatkan supaya yang belum berdaftar untuk berdaftar, kita akan tutup sehingga esok tengahari. Esok kita akan tutup pendaftaran untuk kita selaraskan bantuan.
“Kita juga ada kategori penyewa. Bantuan RM5,000 akan diberikan kepada pemilik ‘total lost’ dan RM2,500 kepada penyewa. Bermula Isnin kita akan panggil untuk semak yang akan diuruskan nanti,” katanya.
Amirudin turut memaklumkan sebanyak 130 rumah daripada 235 kediaman yang dikenalpasti di Taman Putra Harmoni telah disahkan selamat dan penghuninya dibenarkan pulang.
Bagaimanapun, katanya, semua kediaman di Kampung Sungai Baharu belum disahkan selamat dan mangsa dinasihatkan mengikut arahan pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan masing-masing.
“Kalau mereka masuk sendiri tanpa melapor kepada pegawai di lapangan, saya bimbang ada insiden tidak diingini. Kita akan cuba percepatkan kerana sebahagian kediaman masih rapuh,” katanya.


