ad
SELANGOR

Barangan asas, makanan di PPS cukup, rujuk JKM sebelum salur bantuan

5 Apr 2025, 9:14 AM
Barangan asas, makanan di PPS cukup, rujuk JKM sebelum salur bantuan

Oleh Aliff Haiqal Mohamed

SUBANG JAYA, 5 APRIL: Barangan keperluan asas dan makanan di pusat pemindahan sementara (PPS) Masjid Putra Heights setakat ini cukup untuk menampung keperluan mangsa selama seminggu.

Wakil Komuniti Sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Zura Atie bagaimanapun berkata bekalan seperti lampin bayi masih kurang dan amat diperlukan ketika ini.

"Semua keperluan asas lain sudah cukup, namun kami memerlukan lampin bayi pakai buang terutama saiz L dan XL," katanya kepada Media Selangor di PPS berkenaan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru agar mana-mana individu perseorangan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ingin menyalurkan bantuan agar merujuk kaunter JKM di PPS terlebih dahulu.

“Bagi sumbangan dalam jumlah besar, kami sarankan supaya ia dihantar ke Dewan Harmoni. Di sana, bantuan akan diselaraskan sebelum diagihkan ke PPS yang memerlukan.”

Tambah Zura, barangan bantuan yang melebihi kapasiti simpanan di PPS Masjid Putra Heights juga akan diagihkan ke PPS Dewan Camelia.

Semalam, EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari turut menasihati individu perseorangan dan NGO supaya merujuk pengurus PPS terlebih dahulu sebelum menghantar bantuan kepada mangsa.

Katanya, hal ini bagi mengelakkan daripada berlakunya lambakan barangan yang tidak diperlukan.

Anfaal berkata pihaknya juga akan mengerahkan agensi kerajaan negeri iaitu Wanita Berdaya Selangor (WBS) untuk membantu memastikan penyusunan barangan bantuan agar lebih teratur.

Dalam kejadian Selasa lalu, saluran gas Petronas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights terbakar yang menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.

Insiden itu melibatkan 1,254 mangsa daripada 308 keluarga dengan 87 rumah rosak sepenuhnya dan tidak boleh didiami, manakala 148 rumah terjejas namun boleh didiami.

Kebakaran turut menyebabkan terbentuknya kawah berkedalaman 9.8 meter dengan keluasan kira-kira 21X24 meter di lokasi kejadian.

Setakat pagi tadi, sebanyak 382 mangsa daripada 99 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights, manakala 109 mangsa daripada 27 keluarga berlindung di PPS Dewan Camelia.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.