SHAH ALAM, 4 APRIL: Kira-kira 40 haiwan termasuk kucing, anjing dan ular dirawat susulan insiden kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Heights pada Selasa.
Melibatkan kerjasama pelbagai agensi dan klinik, Persatuan Mencegah Kezaliman Terhadap Haiwan (SPCA) Selangor berkata lebih 27 kucing, enam anjing dan dua ular diselamatkan setakat ini.
Menurut Pengurus Besarnya Kelvin Cheah, kebanyakan haiwan yang dirawat dipulangkan kepada pemiliknya pada hari yang sama untuk mengelakkan tekanan kepada ternakan itu.
"Pemilik yang tidak ditemui, haiwan itu ditempatkan di pusat perlindungan sementara. Setakat ini, haiwan yang dibawa ke sini mengalami luka kecil akibat kebakaran atau ketika lari menyelamatkan diri. Tiada luka serius,” katanya kepada Media Selangor.
[caption id="attachment_694771" align="aligncenter" width="787"]
Bantuan rawatan kecemasan untuk haiwan peliharaan yang terlibat dalam insiden kebakaran saluran paip gas dengan kerjasama SPCA Selangor, Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM), Animal Kindness Coalition (AKC) dan badan kesukarelawanan. Foto BERNAMA[/caption]
Jelasnya, haiwan tersebut dirawat di Kuil Sri Maha Kaliamman, Putra Heights bermula 9 pagi hingga 5 petang sehingga Ahad ini dan akan dilanjutkan jika terdapat keperluan.
Menurut Kelvin, nasib haiwan yang terkesan susulan kebakaran itu turut mendapat perhatian Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor Tengku Perrmaisuri Hajah Norashikin.
“Pada hari pertama kebakaranm (nasib haiwan terkesan) mendapat perhatian Tengku Permaisuri dan tanya apa SPCA Selangor boleh bantu, sebab itu kita tubuhkan pusat operasi ini,” katanya.
Tengku Permaisuri Hajah Norashikin merupakan Penaung Diraja kempen Stray Free kendalian SPCA Selangor. Sejak 2021, Baginda mengambil berat isu pengurusan haiwan terbiar termasuk anjing dan kucing dengan memberi pandangan membina.
Kebakaran besar paip gas berlaku di Putra Heights pada hari kedua Aidilfitri, menyebabkan kemusnahan besar sehingga memaksa sebahagian penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara.
Kebakaran saluran paip gas Petronas sepanjang 500m yang bermula sekitar jam 8 pagi itu menyebabkan api menjulang tinggi sehingga dapat dilihat beberapa kilometer jauhnya.


