SUBANG JAYA, 4 APRIL: Pengacara televisyen Aidil Abdul Ghaffar terpaksa berlari sejauh 700 meter bagi menyelamatkan diri susulan kejadian kebakaran saluran gas milik Petronas pada Selasa.
Bercerita lanjut, Aidil berkata beliau berlari di celah-celah pokok serta blok bangunan supaya terhindar dari bahang yang amat panas sambil menghubungi talian kecemasan namun tidak berhasil.
Tidak putus asa, beliau kemudiannya menelefon rakan yang juga merupakan anggota bomba bagi memaklumkan kejadian berkenaan.
“Kejadian ini macam gunung berapi meletup. Ingatkan ini kesan letupan gunung berapi (luar negara). Pintu rumah saya bergegar dan bahang sangat panas.
“Anak, menantu sempat selamatkan kenderaan. Dekat luar saya nampak semua orang berlari. Mulanya tak mahu keluar dari rumah tapi isteri menjerit (suruh keluar).
“Saya berlari kira-kira 700 meter ke arah hutan tepi lebuh raya Elite. Di tempat berkumpul tu, suasana sangat tenang. Berbeza dengan kejadian bencana lain.
“Mungkin semua terkejut dan panik, tertanya-tanya apa berlaku. Ada juga yang melecur dan kami bantu sesama sendiri sementara tunggu bantuan,” katanya kepada Media Selangor semalam.
[caption id="attachment_694595" align="aligncenter" width="812"] Pandangan dari Persiaran Harmoni kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Height, Subang Jaya pada 1 April 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIASELANGOR[/caption]
Sementara itu Aidil memaklumkan mana-mana peguam yang mahu membantu mangsa mendapatkan keadilan dalam kes ini boleh menghubunginya untuk memudahkan urusan.
“Boleh hubungi saya di talian 010-901 9535. Kita mahu mudahkan urusan semua mangsa terutama penduduk Kampung Kuala Sungai Baru dan Kampung Tengah memandangkan ada mangsa tinggal sehelai sepinggang.,” katanya.
Setakat jam 1 tengah hari tadi, Aidil antara 339 mangsa daripada 89 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Dewan Serbaguna Masjid Putra Height yang dibuka sejak 1 April.
[caption id="attachment_694699" align="aligncenter" width="800"] Sukarelawan membantu mangsa kebakaran saluran paip gas memilih pakaian yang disumbangkan orang ramai ketika tinjauan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights, Subang Jaya pada 3 April 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
Sebelum ini, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor mengesahkan kebakaran melibatkan kebocoran saluran paip gas di Putra Heights, dengan anggaran panjang saluran terbakar 500 meter.
Dilaporkan api kebakaran paip gas berkenaan menjulang lebih 100 kaki (30 meter) ke udara menghasilan suhu api mencecah 1,000 darjah Celsius.
Susulan kejadian itu, 78 kediaman rosak sepenuhnya, termasuk 327 kenderaan di kawasan seluas 28 hektar meliputi dua lokaliti iaitu Taman Putra Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru.