SHAH ALAM, 3 APRIL: Seramai 85 pemilik rumah yang terjejas susulan kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Heights, Subang Jaya dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing hari ini, kata Dato' Menteri Besar.
Dato' Seri Amirudin Shari memaklumkan kesemua pemilik dibenarkan pulang selepas kediaman mereka disahkan selamat oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Tenaga Nasional Berhad dan utiliti lain.
"Semua kediaman yang dipastikan selamat ini mempunyai sambungan elektrik dan bekalan air. Pengerusi jawatankuasa bencana daerah akan maklumkan kepada setiap pemilik bermula hari ini.
"Kebanyakan kediaman ini di Taman Harmoni...namun kita akan lihat dari semasa ke semasa," katanya pada sidang media khas di Wisma Dewan Annexe, Bangunan SUK Selangor hari ini.
[caption id="attachment_694712" align="aligncenter" width="812"]
Dato Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengadakan sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pemulihan Kawasan Putra Heights di Wisma Dewan Annexe, Bangunan SUK Selangor pada 3 April 2025. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR[/caption]
Terdahulu, Amirudin yang juga pengerusi jawatankuasa bencana negeri memaklumkan sejumlah 87 rumah dan premis disahkan mengalami kerosakan sepenuhnya serta tidak boleh didiami. Manakala 148 rumah pula mengalami kerosakan dan boleh didiami selepas dibaik pulih.
Selain itu, Amirudin berkata dua mangsa kebakaran masih dirawat masing-masing di Hospital Ampang dan Hospital Kuala Lumpur berikutan mempunyai kesan agak kritikal pada sistem pernafasan.
Katanya lagi, 630 mangsa daripada 157 kini ditempatkan di dua pusat pemindahan sementara iaitu di Dewan Serbaguna Masjid Putra Height dan Dewan Camelia Putra Height.
[caption id="attachment_694583" align="aligncenter" width="809"]
Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor giat memadamkan api di kediaman penduduk yang terbabit dalam kebakaran saluran paip gas di Taman Puchong Perdana, Puchong, Selangor pada 1 April 2025. Foto BERNAMA[/caption]
Mengulas lanjut, Amirudin berkata langkah-langkah kawalan telah dilaksana di pusat pemindahan sementara demi keselesaan mangsa bermula hari ini.
Jelasnya, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang melaksana kawalan akan menyediakan tempat pertemuan atas faktor keselamatan, kesihatan dan privasi mangsa.
"JKM akan hadkan untuk pertemuan dan ini adalah hasil maklum balas selepas beberapa hari pusat pemindahan sementara dibuka kepada mangsa," katanya.


