SHAH ALAM, 1 APRIL: Penduduk yang terjejas susulan kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights diminta mendaftar dengan Unit Pengurusan Bencana Negeri.
Dato' Menteri Besar dalam kenyataan berkata langkah itu bagi memastikan semua keluarga dari Taman Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru segera dibantu.
"Keutamaan kini bagi Kerajaan Negeri bersama kerajaan persekutuan adalah keselamatan, kebajikan dan keselesaan semua penduduk yang terkesan.
"Ini akan disusuli oleh siasatan terperinci oleh pihak berkuasa berhubung punca sebenar yang menyebabkan kebocoran saluran gas serta letusan yang mengakibatkan kerosakan harta benda penduduk dengan skala sebegitu besar," kata Dato' Seri Amirudin Shari.
Beliau menjelaskan mendapat makluman bahawa terdapat 78 rumah yang mengalami kebakaran teruk dan belum selamat didiami manakala 10 unit rumah kedai musnah sepenuhnya.
"Mengikut analisa yang dijalankan Pusat Kawalan Tempat Kejadian, 327 kenderaan turut musnah akibat api yang marak pagi tadi.
"Saya mendoakan agar semua mangsa terutama mereka yang dirawat di hospital pulih sepenuhnya," kata beliau lagi.
[caption id="attachment_694374" align="alignnone" width="950"]
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari ketika meninjau lokasi kebakaran saluran paip gas di Jalan Putra Harmoni Putra Height, Subang Jaya pada 1 April 2025. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR[/caption]
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengumumkan bantuan segera sebanyak RM5,000 kepada pemilik rumah yang terjejas sepenuhnya dalam insiden itu.
Beliau yang melawat lokasi kebakaran dan pusat operasi pada petang tadi turut mengumumkan bantuan sebanyak RM2,500 kepada lebih 100 pemilik rumah yang sebahagiannya rosak.


