Oleh Dewi Abdul Rahman
SHAH ALAM, 30 MAC: Terlelap seketika ketika memandu atau microsleep boleh menjadi ancaman besar di jalan raya seterusnya membawa risiko kemalangan yang meragut nyawa dalam sekelip mata.
Tanda awal seperti mata berat, kerap menguap, dan kepala tersengguk-sengguk tidak boleh dipandang enteng kerana jika diabaikan, detik singkat itu boleh mengubah perjalanan biasa menjadi tragedi ngeri.
Menurut Pakar Psikologi Trafik dan Keselamatan Jalan Raya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Rozmi Ismail, keletihan melampau, kurang tidur dan persekitaran pemanduan yang terlalu selesa antara punca utama pemandu ‘tertidur’ tanpa sedar walaupun hanya beberapa saat.
Katanya, individu yang bekerja dalam tempoh panjang atau tidak mendapat tidur mencukupi lebih cenderung mengalami microsleep ketika memandu.
"Dalam keadaan ini, badan yang keletihan menghantar isyarat kepada otak untuk berehat, menyebabkan mata tertutup secara automatik walaupun hanya untuk beberapa saat.
[caption id="attachment_693969" align="aligncenter" width="916"]
Pakar Psikologi Trafik dan Keselamatan Jalan Raya Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Rozmi Ismail. Foto Media Selangor[/caption]
"Ia boleh mengakibatkan kemalangan serius kerana mata sangat penting, bila tertutup maknanya tidak ada koordinasi antara tangan dan kaki," katanya.
Justeru itu katanya, apabila mengalami simptom tersebut, pemandu disaran segera mengambil langkah pencegahan seperti berhenti seketika, regangkan badan, cuci muka, atau mengambil minuman berkafein untuk mengembalikan tenaga.
Beliau turut menasihati pengguna jalan raya untuk lebih mempersiapkan mental dan fizikal terutama yang perlu memandu selama berjam-jam.
"Badan kita ini seperti mesin, jika tidak berhenti, ia boleh ‘tersekat’. Sebab itu setiap dua atau tiga jam, kita mesti berehat, sama seperti enjin kereta yang perlu ditukar minyak hitamnya, manusia pun sama, ada had masa, kena rehat walaupun kita rasa masih boleh teruskan perjalanan.
"Kemalangan benda yang kita tidak boleh ubah seperti bawa kenderaan, tiba-tiba batu jatuh, tapi kalau kita tidak merancang tidak ada strategi, maknanya kita sebenarnya mengundang kepada kemalangan, contoh malam tidur tak cukup, "ujarnya.
Dalam masa sama Dr Rozmi turut menekankan tentang kepentingan menyebarkan kesedaran bahaya microsleep dengan memberi peringatan kepada orang ramai.
"Edar risalah di kawasan sesak seperti tol tentang bahaya gejala ini dan sebar secara meluas di media sosial," katanya kepada Media Selangor.
[caption id="attachment_423743" align="aligncenter" width="1083"]
Kakitangan Institut Memandu Kecemerlangan Latihan (IMKL) Setapak memandu salah sebuah kenderaan latihan bagi memastikan kenderaan dalam keadaan baik untuk digunakan ketika tinjauan di IMKL Setapak pada 14 Julai 2020. Foto BERNAMA[/caption]


