SHAH ALAM, 26 MAC: Lebih 60,000 pembeli dijangka menerima manfaat penganjuran Jualan Mega Ehsan Aidilfitri yang berlangsung sembilan hari sehingga Sabtu ini.
EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim berkata program jualan murah barangan asas di 25 lokasi itu sekali gus mampu meringankan beban terutama umat Islam menyediakan keperluan raya.
Jelasnya program melibatkan subsidi berjumlah RM376,000 itu dijalankan dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor, KoHijrah Selangor dan Lembaga Pemasaran Pertanian Selangor.
“Program ini berlangsung di semua daerah bagi memudahkan penduduk berbelanja sempena musim perayaan ini.
“Empat produk dijual pada harga rendah dengan potongan harga antara RM2 hingga RM6 iaitu ayam, daging pejal, telur fred B dan beras lima kilogram,” katanya pada sidang media.
Beberapa tahun ini, setiap kali musim perayaan Kerajaan Selangor memperkenal inisiatif jualan mega musim perayaan yang menawarkan harga lebih rendah berbanding pasaran luar.
Ketika melancarkan program jualan mega minggu lalu, Izham menjelaskan pihaknya menyarankan agensi berkaitan supaya memberi diskaun pada barangan yang tidak termasuk dalam subsidi.
Ia bertujuan meringankan beban rakyat menjelang perayaan selain rakyat dapat membeli keperluan raya pada harga murah.
Sementara itu wakil rakyat Pandan Indah berkata pihaknya membelanjakan hampir RM100,000 bagi mengagihkan 3,500 ayam segar dan 1,775 pek beras lima kilogram untuk keluarga asnaf.
“Agihan akan dibuat esok dan Jumaat di beberapa Dewan Undangan Negeri terpilih. Kita mahu penerima dapat meraikan syawal dengan meriah,” katanya.