Oleh Intan Syuhada Akhir
Dilabel liar dan pernah ditohmah seperti kafir, itu kata tajam menikam terpaksa ditelan penyampai radio Zayyan, Nana Mahazan ketika awal pembabitannya dalam industri hiburan.
Terkenang saat berkenaan, pemilik nama Nurul Hana Che Mahazan kerap dikecam dalam forum sembang atau portal gosip, sekitar 10 tahun lalu.
“Waktu itu media sosial belum popular. Orang ramai lebih suka komen di laman forum. Pada usia saya lingkungan 20-an, selagi baju tidak nampak perut, itu bukan Nana Mahazan.
“Ramai yang menulis komen mengecam teruk sehingga tergamak kafirkan saya. Mereka juga doa saya masuk neraka,” cerita wanita berusia 42 tahun, juga anak kelahiran Muar Johor itu.
Mencipta nama ketika bergelar peserta Akademi Fantasia musim pertama, Nana meluahkan kata-kata yang ditaip warganet di laman forum itu terkesan sehingga ke hari ini.
Ketika bergelar peserta realiti, bukan sahaja suaranya tidak disukai, malah perwatakannya turut dikecam. Dikatakan seksi dan gedik sepanjang musim.
“Saya hairan kenapa orang yang suka menulis di laman forum itu tidak pernah terfikir yang ayat mereka mampu membawa kesan besar. Sehingga saya terfikir, aku ini memang dijadikan Allah untuk dibenci manusia ke?
“Kalaulah ada warganet menulis baik, mungkin orang ‘jahat’ macam saya akan berubah. Sebab itu kena tulis baik-baik sebab kita tak tahu apa yang kita cakap tu akan bagi kesan pada mereka yang terkena,” katanya kepada Media Selangor baru-baru ini.
Pahala ‘kejian’
Ketika muda, teguran warganet membuatkannya cepat memberontak. Katanya mudah untuk dia mendapat ‘pahala’ dari kejian itu. Namun ada waktunya dia tidak kuat, pernah dia hampir berputus asa dalam hidup.
“Anda kena faham, zaman itu depresi bukanlah sesuatu yang hebah diperkatakan seperti sekarang. Tapi saya ingat pernah berada dalam fasa tertekan dan murung.”
Daripada rambut bewarna-warni, skirt pendek dan baju terdedah pusat akhirnya pada 2021 ibu dua anak itu mengambil tindakan nekad dengan memakai tudung. Tiada lagi imej seksi.
[caption id="attachment_693335" align="aligncenter" width="800"]
Nana Mahazan berkongsi fotonya di Mekah ketika melaksanakan umrah yang dimuat naik di Facebook pada 30 April 2024[/caption]
Penyampai radio Zayan FM itu tidak pernah menyangka suatu hari nanti dia akan bertudung dan lebih bersungguh mendalami Islam. Nana mengakui tidak mudah untuk kekal istiqamah.
Dia menerima reaksi positif peminat sejak penghijrahannya sehingga ada peminat mendedahkan mula mengenakan stoking disebabkan penghijrahannya.
Namun Nana mengharapkan mana-mana individu mahu berubah kerana Allah, bukannya kerana insan sepertinya.
“Jangan buat sebab saya, tapi Allah. Begitu juga hal agama, jangan tanya saya, sebaliknya tanya yang lebih arif. Tapi kalau awak pakai stoking sebab tengok saya, alhamdulillah.”
Nana bersyukur kerana perjalanannya mendekati agama disokong suami, Mohamed Raqeem Brian yang juga seorang mualaf.
“Apabila saya semakin berusia, saya menjadi lebih matang. Saya mula bertanya apakah tujuan hidup saya yang sebenar. Sistem sokongan saya kuat terutama suami. Walaupun dia seorang mualaf, tapi Brian minat untuk fahami agama.
“Kadang saya kata pada suami, kalau saya masuk syurga, saya mahu dia ada sekali. Sejujurnya, dia lebih banyak baca al-Quran berbanding saya. Kami banyak mengajak mendekati agama dengan menunjukkan contoh yang baik kepada satu sama lain,” tambahnya.
Nana berkahwin dengan dengan jejaka asal Sarawak itu pada 6 Jun 2009 dan kini dikurniakan dua orang anak iaitu Athea, 14, dan Aaqib,11.


