BERITA UTAMA

Pitas selaras kaedah pengajaran tahfiz, persiap pelajar kemajuan teknologi

25 Mac 2025, 4:00 AM
Pitas selaras kaedah pengajaran tahfiz, persiap pelajar kemajuan teknologi
Pitas selaras kaedah pengajaran tahfiz, persiap pelajar kemajuan teknologi
Pitas selaras kaedah pengajaran tahfiz, persiap pelajar kemajuan teknologi

Persatuan Institut Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (Pitas) mahu melahirkan tenaga pengajar terlatih dan profesional melalui penubuhan Institut Perguruan Tahfiz Selangor (IPTS).

Institut itu akan dibina di tanah seluas setengah ekar bersebelahan sekolah tahfiz Darul Quran di Kampung Sungai Kertas, Gombak milik Pitas yang beroperasi sejak 10 tahun lalu.

Pusat pendidikan yang menempatkan bangunan tiga tingkat itu bakal menjadi medan latihan dan menyelaras kaedah pengajaran al-Quran kepada lebih 3,000 guru tahfiz di seluruh negeri.

Institut berkenaan boleh memuatkan 250 guru pada satu masa, termasuk dilengkapi dewan, bilik kuliah, auditorium, makmal al-Quran, bilik penginapan dan asrama.

Pada masa ini, Pitas giat mencari dana RM5 juta dalam masa setahun mulai Ramadan untuk menjayakan hasrat tersebut. Jika berhasil, institut itu dijadual siap dua tahun kemudian.

Menurut Pengerusi Pitas Muhamad Hafiz Muhamad Haneefa, kaedah pembelajaran dan pengajaran yang lazimnya berbeza-beza boleh diselaraskan melalui peranan institut berkenaan.

[caption id="attachment_693165" align="aligncenter" width="814"] Pengerusi Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (Pitas) Mohamad Hafiz Haneefa ketika temu bual bersama Media Selangor di Darul Quran Pitas, Gombak pada 20 Februari 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]

Masalah tersebut berlaku disebabkan pengaruh geografi tempat guru tahfiz menuntut ilmu sebelum ini sama ada di dalam mahupun luar negara meliputi India, Pakistan, Makkah dan Turki.

Selain itu, institut tersebut berupaya membimbing guru tahfiz dari sudut psikologi, tidak hanya terbawa-bawa pendekatan keras berteras hukuman fizikal semata-mata seperti rotan.

“Jadi apabila kita ada pusat latihan ini, kita boleh selaraskan teknik pengajaran dan pelbagai lagi supaya dia (menjadi guru yang) ada kualiti,” katanya pada 25 Februari.

Selain menubuhkan institut tersebut, Darul Quran yang dinaungi Pitas juga mula memainkan peranan melatih pelajar untuk menjadi pendidik dalam lima tahun terakhir ini.

Kemahiran

Darul Quran menawarkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) pengajaran tahfiz (tahap 3) kepada pelajar yang khatam 30 atau separuh juzuk bagi melahirkan kelompok pendidik agama.

Mereka layak menerima sijil pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) selepas menerima latihan selama setahun.

“Jadi kita melahirkan lebih 100 guru yang kompeten, layak menjadi guru di mana-mana maahad tahfiz. SKM ini lebih mudah, maksudnya lebih terarah kepada kerjaya itu,” katanya.

Muhamad Hafiz juga menyambut baik hasrat Kerajaan Negeri untuk menerap sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) berasaskan al-Quran meliputi 23 sekolah agama kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

[caption id="attachment_692959" align="aligncenter" width="812"] EXCO Agama Dr Fahmi Ngah dan Pengerusi Persatuan Institut Tahfiz Selangor Muhamad Hafiz Muhamad Haneefa bergambar bersama penerima anugerah pada Majlis Penutup Ijtimak Huffaz Selangor Kali Ke-18 di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Shah Alam pada 23 Mac 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIA SELANGOR[/caption]

Meski penerapan STEM belum melibatkan sekolah tahfiz naungan Pitas meliputi lebih 500 pusat tahfiz melibatkan 23,000 pelajar setakat ini, beliau yakin ia boleh dijadikan projek rintis.

“Kita juga bersedia naik taraf maahad tahfiz supaya dapat perkasakan lagi pembelajaran tersebut (STEM), (dan) supaya (pelajar) lebih cemerlang,” katanya lagi.

Pitas turut berpengalaman secara langsung dalam merangka dan menggubal kurikulum SKM bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejak 2016.

Kurikulum Moderasi Tahfiz Selangor (KMTS) berasaskan akademik yang diperkenal sejak 2019 disusun bagi mempersiap pelajar kepada perkembangan teknologi dan cabaran semasa.

Kemahiran insani (soft skill) dititik berat termasuk kefahaman asas menjadi imam, makmum dan khatib, pengurusan jenazah, hal ehwal dakwah dan kemasyarakatan, pidato, syarahan serta keusahawanan.

“Kenapa kita tekankan bahagian (ko)-kurikulum? Sebab ia kait rapat dengan pelajar tahfiz itu sendiri, kita hendak ada persiapan yang kuat pada dirinya.

“Kita pun tahu hendak mohon ke institut pengajian tinggi, ada markah ko-kurikulum. Jadi inilah yang kita wujudkan,” katanya yang juga selebriti Pencetus Ummah.