AGENDA

Selangor, Google Cloud bangunkan pelan AI pacu tadbir urus pintar

24 Mac 2025, 6:23 AM
Selangor, Google Cloud bangunkan pelan AI pacu tadbir urus pintar
Selangor, Google Cloud bangunkan pelan AI pacu tadbir urus pintar
Selangor, Google Cloud bangunkan pelan AI pacu tadbir urus pintar

Oleh Danial Dzulkifly

KUALA LUMPUR, 24 MAC: Selangor membangunkan pelan tiga tahun kecerdasan buatan (AI) bersama Google Cloud Malaysia (Google Cloud) untuk melancarkan urusan pentadbiran negeri.

Dato' Menteri Besar menjelaskan fasa pertama projek dikenali sebagai Teraju AI bakal membabitkan kos RM5 juta bagi meningkatkan ketelusan dan kecekapan perkhidmatan kerajaan.

Menerusinya, Dato' Seri Amirudin Shari berkata setiap jabatan akan mengenal pasti sebarang halangan dan bekerjasama dengan pakar Google untuk membangunkan produk berdaya maju.

“Ini juga bertujuan memastikan data yang disampaikan kepada masyarakat tepat dan disahkan, sekali gus mengelakkan maklumat palsu serta berita tidak sahih.

[caption id="attachment_693037" align="aligncenter" width="809"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas majlis Inisiatif Strategik Kerajaan Selangor dan Google Cloud serta memorandum persefahaman antara Selangor Technical Skills Development Centre (STDC) dengan Google Asia Pacific Pte. Ltd. di Menara Axiata, Kuala Lumpur pada 24 Mac 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]

"Ini antara manfaat penggunaan AI selain daripada penambahbaikan dalam perkhidmatan kerajaan,” katanya dalam majlis pelancaran di pejabat Google, di sini hari ini.

Inisiatif tersebut pada asalnya diperkenal sebagai program AI Trailblazers, yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2025 pada November tahun lalu.

Program itu diperhalusi sebagai pelan penerapan AI yang tersusun untuk meningkatkan produktiviti serta ketepatan data, bermula dengan 11 agensi kerajaan, termasuk Dewan Negeri Selangor.

Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Google Cloud dan Selangor juga akan menubuhkan Inkubator Industri AI bagi menyokong syarikat pemula (startup) di negeri itu.

Inkubator itu akan menyediakan sumber pembelajaran, pembangunan, dan keupayaan untuk berkembang, sejajar pelbagai fasa pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Dalam pada itu, Amirudin menegaskan program berkenaan mengutamakan penggunaan AI secara selamat dan beretika, sambil melindungi data peribadi dan keselamatan siber.

[caption id="attachment_693038" align="aligncenter" width="757"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kanan) menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman antara Selangor Technical Skills Development Centre (STDC) dengan Google Asia Pacific Pte. Ltd. di Menara Axiata, Kuala Lumpur pada 24 Mac 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]

“Kita bukan sekadar pengguna teknologi. Kita mesti menjadi pencipta dan penginovasi untuk memastikan AI memanfaatkan masyarakat tanpa meningkatkan jurang ketidaksamaan,” katanya.

Beliau juga menyatakan peserta yang menyelesaikan program tersebut akan menerima sijil daripada Google Cloud, manakala mereka yang gagal pula perlu membayar yuran latihan penuh.

Sementara itu, Pengarah Google Cloud Malaysia dan Singapura Serene Sia dalam ucapannya berkata syarikat teknologi tersebut sudah lama menjalin hubungan erat dengan pentadbiran Selangor.

Beliau menyatakan pusat data Google sedang dibangunkan di pusat perniagaan Elmina, selain program sosial untuk memastikan manfaatnya dinikmati komuniti tempatan.

Pelancaran inisiatif itu, katanya, memperkukuh lagi hubungan Google dengan Selangor dalam membantu negeri berkenaan mengadaptasi penyelesaian AI bagi meningkatkan perkhidmatan kerajaan.

“Google komited berkhidmat kepada komuniti sekitar. Sebahagian daripada usaha ini, kami memulakan projek pemulihan untuk meningkatkan kualiti air dan biodiversiti Tasik Taman Aman.

“Kami juga melabur dalam program Future Skills for All untuk melengkapkan 61,000 pelajar di Selangor dengan kemahiran digital yang penting untuk pekerjaan masa depan,” katanya.

Pada 5 Februari, kerajaan persekutuan turut mengumumkan kerjasama dengan Google dalam penerapan AI melalui inisiatif AI at Work 2.0 untuk memperkasa perkhidmatan 445,000 penjawat awam.