ad
BERITA UTAMA

Festival turath kupas Tafsir Jalalain, 18 tokoh agama kongsi ilmu

24 Mac 2025, 6:00 AM
Festival turath kupas Tafsir Jalalain, 18 tokoh agama kongsi ilmu

Dua kitab penting dalam dunia Islam iaitu Tafsir Jalalain dan Usul Tafsir, kedua-duanya karangan Imam as-Suyuti (gambar kecil) bakal dikupas dalam Festival Turath Islami Selangor.

Program anjuran Kerajaan Selangor kali ketiga yang bermula sejak 2023 antara lain bertujuan meneruskan tradisi tadah kitab depan guru yang menjadi kelaziman umat Islam zaman berzaman.

Kedua-dua kitab berkenaan akan dikupas dalam 10 sesi daurah (perbincangan) di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam mulai 12 hingga 19 Julai.

Kupasan Tafsir Jalalain dijadual berlangsung dalam tujuh sesi selama lapan hari membabitkan enam ulama dari Maghribi, Mesir, India dan Pakistan. Perbahasan kitab Usul Tafsir pula diadakan dalam tiga sesi.

Sebelum ini, kitab Ihya Ulumuddin tulisan Hujatul Islam Imam al-Ghazali dikupas dalam festival tersebut pada 2023 manakala naskhah Hadis 40 Imam Nawawi dipilih pada tahun lalu. Ribuan peserta termasuk dari luar negara memenuhi masjid negeri untuk mengikuti majlis ilmu itu.

Tafsir Jalalain adalah kitab rujukan utama dan popular dalam kalangan pelajar pondok dan pesantren di alam Melayu dan nusantara. Sejak dulu hingga kini, kitab tersebut memenuhi rak buku masjid atau surau.

Sebenarnya, karya itu ditulis dua Jalal. Pengarang pertama Jalaluddin al-Mahalli, ulama kelahiran Kaherah, Mesir pada 794H/1389M. Beliau memulakan pentafsiran juzuk ke-15, dari surah al-Kahfi hingga juzuk ke-30 surah al-Nas.

Namun, ulama tersebut meninggal dunia pada 864H/1459M selepas mentafsir surah al-Fatihah. Usaha pentafsiran baki surah kemudian diteruskan anak muridnya Imam as-Suyuti (Jalaluddin Abdul Rahman bin Abu Bakar as-Suyuti).

“Maka Imam as-Suyuti kemudian melengkap dan menghabiskan tafsiran baki surah. Sebab itu dipanggil (tafsir) al-Jalalain,” kata Mufti Selangor Dato’ Setia Prof Madya Dr Anhar Opir.

Imam as-Suyuti yang dilahirkan di Asyut, selatan Kaherah pada 849H/1445M turut menghasilkan lebih 600 karya dalam pelbagai cabang ilmu antaranya 73 kitab tafsir, hadis (205), Usul Fiqh (20) dan bahasa Arab (66).

Beliau juga mengarang kitab Usul Tafsir yang diterjemah dengan judul Pengantar Ilmu Tafsir. Kitab itu salah satu subtopik kitab asal berbahasa Arab berjudul Itmam ad-Dirayah li Qurra’ an-Nuqyah.

Terjemahan karya tersebut dilakukan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), penggerak utama festival berkenaan hasil cetusan idea Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada 2023.

“Imam as-Suyuti menerusi karya ini memperinci prinsip asas yang menjadi tunjang bagi memahami serta mentafsir ayat-ayat al-Quran,” kata penterjemahnya Wan Ahmad Zuhairi Yaacob merujuk kitab 102 halaman yang memuatkan tiga bab utama.

Bab pertama menghuraikan takrif ilmu tafsir, mukadimah (bab kedua) dan bab ketiga berkaitan jenis kandungan al-Quran yang dibahagikan kepada 14 tajuk.

Majlis kupasan dua kitab itu akan diselang seli program pembacaan dan kupasan kitab Dalail al-Khairat, himpunan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, juga terbitan IBDE.

Naskhah tersebut dihasilkan tokoh sufi Maghribi abad ke-15 iaitu Imam Abu Abdullah Muhammad Sulaiman Al-Jazuli yang diterima meluas dan dianggap himpunan selawat penting di dunia Islam.

Menurut Dr Anhar, pengarang buku Tuhfat al-Nafis tulisan Raja Ali Haji ada menyebut perihal datuknya Raja Haji Fi Sabilillah dan kitab itu dalam pertempuran dengan penjajah Belanda pada 17 Jun 1784.

“Sebelah tangan beliau memegang sebilah pedang dan sebelah tangan lagi memegang Dalail al-Khairat. Beliau terkena peluru senapang lalu rebah dan syahid.

“Kitab ini berlegar-legar dalam kalangan orang Melayu. Ia satu zikir dan selawat penting khusus untuk melawan musuh dan penjajah,” katanya dalam pelancaran festival tersebut bersekali sambutan Nuzul Quran peringkat negeri di kediaman rasmi Dato’ Menteri Besar pada 18 Mac.

Seramai 18 tokoh tempatan dan antarabangsa berkongsi ilmu dalam 50 sesi pengajian. Daripada enam ulama yang mengupas dua kitab Imam al-Suyuti, dua daripadanya berasal Maghribi dan Mesir.

Seorang ulama tafsir dan qiraat al-Quran Maghribi Sheikh Mustafa Al-Bahyawi dan bekas Dekan Fakulti Usuluddin Universiti Al-Azhar Prof Dr Abdul Fattah Abdul Ghani Al-Awari.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.