SUBANG JAYA, 21 MAC: Kerajaan Negeri menanggung subsidi sebanyak RM376,000 untuk menjayakan program Jualan Mega Ehsan Aidilfitri selama sembilan hari di 25 lokasi pada tahun ini.
EXCO Pertanian Dato’ Ir Izham Hashim berkata jualan murah barangan asas yang bermula hari ini sehingga 29 Mac itu bertujuan membantu rakyat membeli keperluan Aidilfitri pada harga lebih rendah.
“Jualan mega Aidilfitri bermula hari ini melibatkan tiga agensi iaitu Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia (Fama) dan Koperasi Warga Hijrah Selangor Berhad (Kohijrah).
“Fama dan Kohijrah menawarkan potongan harga sehingga RM6 bagi empat barangan iaitu ayam, daging, telur dan beras. Jumlah subsidi untuk lokasi jualan dikendali Fama dan Kohijrah adalah RM100,000 yang dijangka memanfaatkan 16,000 isi rumah.
“Untuk PKPS pula, jualan mega Aidilfitri diadakan di 12 lokasi. Subsidi di setiap kawasan berjumlah RM23,000 yang ditanggung Kerajaan Negeri dan Persekutuan,” katanya hari ini.
[caption id="attachment_692666" align="aligncenter" width="703"] EXCO Pertanian Dato' Ir Izham Hashim merasmikan simbolik pelancaran Jualan Mega Ehsan Aidilfitri dan Sumbangan Anak Yatim di Pejabat FAMA Selangor, Subang Jaya pada 21 Mac 2025. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Ditemui pada majlis pelancaran jualan tersebut, Izham menjelaskan pihaknya telah menyarankan kepada agensi berkaitan supaya memberi diskaun pada barangan yang tidak termasuk dalam subsidi.
“Setiap lokasi yang dipilih diambil kira berdasarkan jarak satu sama lain supaya semua rakyat terima manfaat. Inisiatif kuta teruskan setiap tahun ini bantu ringankan beban rakyat menjelang perayaan.
“Sebab itu, kita sarankan agensi terlibat beri diskaun barangan tidak termasuk dalam subsidi supaya rakyat dapat beli keperluan perayaan pada harga murah,” ujarnya.
Kerajaan Selangor memperkenal inisiatif jualan mega musim perayaan yang menawarkan harga lebih rendah berbanding pasaran luar.
Jualan mega bermula 21 hingga 29 Mac ini dilaksana di daerah Sepang, Kuala Selangor, Petaling, Kuala Langat, Sabak Bernam, Hulu Selangor, Gombak dan Klang.