SHAH ALAM, 21 MAC: Kerajaan Negeri meneruskan penganjuran Festival Turath Islami Selangor pada 11 hingga 19 Julai depan bagi menyemarakkan lagi pengajian kitab Islam.
Dato’ Menteri Besar berkata program kali ketiga itu bakal menampilkan lebih ramai tokoh Islam termasuk tokoh muslim berpengaruh dunia Mufti Muhammad Taqi Usmani.
Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, festival turath tahun ini turut menganjurkan Pesta Buku Islami Selangor dan Pameran al-Wahyu yang memaparkan institusi pondok dan pesantren.
“Selain itu, kita juga akan membawa bekas Mufti Agung Mesir Dr Ali Jum’ah, ulama tafsir dari Magribi Syeikh Mustafa al-Bahyawi dan beberapa tokoh ulama tempatan serta Nusantara.
“Antara pengisian utama adalah sesi bacaan dan kupasan tafsir surah terpilih dari kitab Tafsir Jalalain dan munaqasyah ilmiah bersama ulama antarabangsa serta syarahan perdana,” katanya pada program sambutan Nuzul al-Quran dan Pelancaran Festival Turath Islami Selangor 2025 minggu lalu.
Mula dianjurkan pada 2023, Festival Turath Islami Selangor merupakan ilham Amirudin yang berhasrat menghidupkan pengajian Islam secara tradisional di negeri ini dan seterusnya berkembang ke seluruh negara.
[caption id="attachment_684910" align="alignnone" width="761"] Orang ramai mendengar syarahan Sama’ Sifat Nabi SAW dan Ijazah Hadis Musalsal disampaikan oleh bekas Mufti Besar Mesir Dr Ali Jum’ah ketika Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 23 Mei 2023. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI[/caption]