ADA beberapa prinsip penting dalam melihat perundangan Islam.
Pertama: makruf dan mungkar
Syariah Islam bertujuan membentuk kehidupan manusia berasaskan makruf serta menjauhkannya daripada mungkar.
Makruf ialah kebaikan yang selaras dengan fitrah seperti yang disebut dalam ayat ke-30 surah al-Rum: "Fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu" serta kebaikan yang diakui baik menurut syarak. Mungkar pula ialah sesuatu yang bertentangan dengan fitrah dan diakui buruk mengikut syarak.
Syariah Islam tidak hanya menjelaskan makruf serta jenis-jenisnya tetapi juga menetapkan suatu manhaj kehidupan yang sempurna bagi umat manusia. Ia berperanan membangunkan akhlak mulia dan nilai-nilai terpuji, menyemai semangat kebaikan serta membantu manusia berkembang dan maju.
Syariah Islam tidak sekadar melarang perbuatan mungkar dan menjelaskan keburukan akhlak tetapi juga menerangkan sesuatu perbuatan dari sudut implikasinya serta memberi peringatan agar tidak terjerumus ke dalam keburukan tersebut.
Sifat bagi makruf pula dilihat dalam beberapa peringkat:
- Wajib: Perkara yang ditetapkan dengan perintah yang mengikat, yang keperluan dalam pelaksanaannya
- Sunat: Perkara yang dianjurkan oleh syariah bagi menyempurnakan kebaikan
- Harus: Perkara yang tidak dilarang dan tidak memberi kesan yang nyata terhadap ketakwaan jika dilakukan. Ia bukan sahaja merangkumi apa yang diizinkan oleh syarak tetapi juga meliputi segala perkara yang tidak bercanggah dengan prinsip syariah. Begitu juga mungkar, ia tidak berada pada satu tahap yang sama
- Haram: Perkara yang wajib dijauhi dan dilarang dengan jelas kerana kesan buruknya yang merosakkan kehidupan individu serta masyarakat
- Makruh: Perkara yang kedudukannya di bawah haram iaitu sesuatu yang boleh menjejaskan kesempurnaan kebaikan serta menghalang manusia daripada mencapai darjat tinggi dalam mendekatkan diri kepada Allah dan kehidupan akhirat
Pembahagian ini dikenali dalam istilah syarak sebagai kategori hukum taklifi dan setiap daripadanya mempunyai dalil yang bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah.
Kedua: sifat syumulnya syariah
Hukum taklifi dalam makruf dan mungkar merangkumi seluruh aspek kehidupan termasuk:
- Akidah: Segala perkara berkaitan keimanan serta alam ghaib
- Ibadah: Kaedah dan perincian pelaksanaan ibadah
- Muamalat: Peraturan yang mengatur hubungan sosial dan pertukaran manfaat dalam kehidupan bermasyarakat
- Kehidupan keluarga: Dari pembentukan asas perkahwinan hingga hubungan suami-isteri serta pendidikan anak-anak
- Pemerintahan: Prinsip, tanggungjawab dan kewajipan pemerintah serta rakyat
- Urusan kewangan, ekonomi dan pentadbiran: Peraturan yang mengawal selia aspek kewangan, sistem ekonomi dan pengurusan dalam kehidupan manusia
- Keadaan perang dan damai: Hukum berkaitan peperangan, perjanjian damai serta hubungan dengan negara asing
- Kehidupan peribadi individu: Peraturan mengenai pemakanan, minuman, pakaian, percakapan dan aspek peribadi lain
Setiap aspek ini dijelaskan dalam al-Quran dan al-Sunnah sama ada secara nas (teks yang jelas) atau mafhum (pengertian tersirat). Keseluruhannya membentuk sistem kehidupan Islam yang berteraskan pengembangan kebaikan dan penghapusan keburukan agar kehidupan manusia terarah kepada kebaikan dan kesempurnaan.
Ketiga: syariah adalah keseluruhan yang tidak boleh dipisahkan
Sistem perundangan Islam yang merangkumi setiap aspek kehidupan manusia adalah kesatuan yang tidak boleh dipisahkan. Kesatuan ini dinamakan "Islam". Oleh itu, manusia tidak boleh mengambil sebahagian daripada syariah dan meninggalkan sebahagian yang lain.
Mengamal sebahagian syariah sambil mengabaikan bahagian yang lain merosakkan kesempurnaannya dan menjejaskan hakikat Islam sebenar. Masyarakat yang mengaku berpegang kepada Islam tetapi hanya melaksanakan sebahagiannya dan mengabaikan yang lain tidak boleh meletakkan kesalahan dan keburukan mereka ke atas Islam.
Syariah Islam diibarat seperti sebatang pohon subur yang meliputi akidah sebagai akar yang meneguhkan asas keimanan, ibadah sebagai batang yang menyokong kestabilannya, muamalat sebagai dahan yang meluaskan manfaatnya kepada manusia, akhlak sebagai daun yang memperindah kehidupan, persaudaraan, kemuliaan dan syurga sebagai buah yang menjadi hasil dan ganjaran akhirnya.
Jika seseorang menggugurkan buah dan daunnya, lalu yang tinggal hanya batang dan akar, bahkan jika akarnya sendiri dirosakkan tafsiran yang salah, masihkah pohon itu boleh disebut pokok yang rendang, subur dan berbuah? Sudah tentu tidak!
Begitulah juga Islam – jika sebahagian syariahnya ditinggalkan atau diubah suai, maka keindahan dan kesempurnaannya hilang. Islam sebenar hanyalah Islam yang diamal secara menyeluruh tanpa mengabaikan mana-mana bahagiannya.
Keempat: teks syariah Islam dan kecukupannya bagi keperluan manusia
Nas-nas syariah dalam al-Quran dan al-Sunnah terbahagi kepada dua jenis:
- Ketetapan pasti (Qat‘i)
Ini merujuk kepada hukum yang jelas dan pasti dalam al-Quran serta hadis sahih. Hukum ini menetapkan prinsip halal dan haram serta kaedah asas yang menjadi teras kehidupan Islam. Ia berkaitan perkara syariah yang tidak berubah mengikut zaman atau tempat
- Ketetapan bersifat ijtihadi (Zanni)
Sebahagian besar nas dalam al-Quran dan al-Sunnah mengandungi panduan yang boleh ditafsirkan dengan lebih daripada satu makna
Aspek inilah yang menjadi ruang bagi ijtihad iaitu para ulama mempunyai pelbagai tafsiran dan pendekatan dalam memahami hukum. Ia berperanan mengembangkan pemikiran Islam.
Apabila dikaitkan dengan kaedah umum dan prinsip menyeluruh dalam syariah, kita dapat melihat bagaimana Islam sentiasa berkembang dan mampu memenuhi keperluan masyarakat dalam setiap zaman dan tempat. Syariah Islam tidak hanya menyelesaikan masalah semasa tetapi juga berdaya maju dalam membina peradaban unggul dan berlandaskan keimanan.