KANGAR, 20 MAC: Empat lelaki termasuk dua anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan memiliki 240,000 biji mercun bola tanpa kebenaran sah di sisi undang-undang.
Lans Koperal E. Lohindran, 32, dan Koperal Mohd Hisyamuddin Ahmad Mispha, 37, serta dua orang awam Nurrul Azizol Mohamad, 40, dan Fairol Izwan Abdul Aziz, 47, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Ana Rozana Mohd Nor.
Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama dengan yang masih bebas dituduh memiliki bahan berkenaan di Taman Kemajuan di sini pada 4.30 petang, 15 Mac lepas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda hingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 21 April ini untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor S. Mageswaran manakala dua anggota polis itu diwakili peguam Mohamad Alif Farhan Mohamad Supian dan dua orang awam terbabit diwakili peguam Syed Muhammad Anwar Syed Lokman Hakim.
-- BERNAMA