BERITA UTAMA

Sultan Selangor rasmi masjid, agih sumbangan kepada 562 asnaf

18 Mac 2025, 2:00 PM
Sultan Selangor rasmi masjid, agih sumbangan kepada 562 asnaf
Sultan Selangor rasmi masjid, agih sumbangan kepada 562 asnaf

HULU LANGAT, 18 MAC: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmikan Masjid Bandar Teknologi Kajang di sini, hari ini.

Keberangkatan tiba Baginda bersama DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin disambut Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Sultan Sharafuddin berkenan melafazkan titah perasmian sebelum menandatangani plak perasmian bagi menyempurnakan majlis itu.

Masjid tersebut siap dibina pada 2023 di kawasan seluas tujuh ekar melibatkan kos RM12.5 juta serta mampu menampung sehingga 2,300 jemaah.

[caption id="attachment_692133" align="aligncenter" width="759"] Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj (tengah) menandatangani plak perasmian diperhatikan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (kanan) pada majlis perasmian Masjid Bandar Teknologi Kajang, Bandar Teknologi Kajang, Hulu Langat pada 18 Mac 2025. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

Pada majlis itu, Sultan Selangor turut menyampaikan sumbangan berjumlah RM281,000 kepada 201 asnaf fakir, 280 asnaf miskin dan 81 orang saudara baharu sekitar daerah itu.

Sementara itu, Pegawai Daerah Hulu Langat Dato’ Mohd Jusni Hashim ketika sembah ucapan memaklumkan terdapat dua buah masjid dalam proses pembinaan di sekitar daerah tersebut.

“Masjid Baitur Rahman di Alam Sari, Kajang telah 80 peratus siap pada masa ini dengan kos pembinaan sebanyak RM33 juta.

“Sebuah lagi masjid yang dalam pembinaan dengan status 86 peratus siap adalah Masjid Bandar Tasik Kesuma dengan kos pembinaan sebanyak RM25.6 juta,” katanya.

Baginda kemudian mendengar ceramah khas yang bertajuk “Keajaiban Al-Quran dari sudut sains dan statistik” disampaikan mantan pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Mohd Arip Kasmo sempena Nuzul al-Quran.

Sultan Selangor, Tengku Permaisuri dan Raja Muda turut berkenan berbuka puasa, menunaikan solat maghrib, isyak dan solat sunat tarawih berjemaah di masjid berkenaan bersama rakyat sebelum berangkat pulang.