ad
BERITA UTAMA

Al-Quran turun berperingkat, tidak tergesa hapus kebatilan

18 Mac 2025, 4:00 AM
Al-Quran turun berperingkat, tidak tergesa hapus kebatilan

Untuk apa al-Quran diturunkan? Jika dirumuskan dalam bahasa ringkas, jawapannya ialah membawa kesejahteraan buat manusia di dunia dan di akhirat.

Dalam bahasa yang lebih terperinci, ulama terkenal abad ke-19, Sheikh Muhammad Abduh menyebut lima tujuan penurunan al-Quran iaitu tauhid, diikuti memberi khabar gembira kepada yang mengikuti ajarannya dan memberi ancaman kepada yang melanggar perintahnya.

Tujuan seterusnya ibadat yang menghidupkan tauhid dalam hati dan meneguhkannya dalam jiwa, juga menerangkan jalan kebahagiaan serta kisah-kisah golongan yang mengikuti perintah tuhan dan yang melanggar arahan-Nya. Tujuannya adalah pengajaran, menjadikan manusia memilih jalan orang baik dan mengenali peraturan tuhan dalam masyarakat manusia.

Maksud beliau, keseluruhan ayat dalam al-Quran hakikatnya berlegar-legar kepada salah satu daripada lima objektif itu. Demi mencapai tujuan-tujuan yang unggul ini, al-Quran diturunkan secara beransur-ansur. Kaedah penurunan ini adalah gaya pendidikan al-Quran yang penuh hikmah.

Saidatina ‘Aishah RA berkata: “Kandungan al-Quran yang pertama turun ialah satu surah daripada surah-surah al-mufassal (bermula dari surah al-Hujurat atau Qaff hingga surah al-Nas), di dalamnya disebutkan tentang syurga dan neraka. Apabila ramai manusia memeluk Islam, ayat-ayat tentang halal dan haram pun turun.

Sekiranya ayat yang pertama turun ialah “janganlah minum arak,” tentulah mereka akan berkata “kami tidak akan tinggalkan arak selama-lamanya.” Begitu juga sekiranya ayat yang pertama turun ialah “janganlah berzina,” tentulah mereka akan berkata “kami tidak akan meninggalkan zina selama-lamanya.”

Ayat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW di Makkah saat aku masih seorang kanak-kanak yang sedang bermain ialah firman Allah: “Bahkan hari kiamat ialah hari yang dijanjikan kepada mereka (untuk menerima balasan yang sepenuhnya) dan azab seksa hari kiamat itu amat dahsyat dan amat pahit.” [al-Qamar: 46]

Surah al-Baqarah dan al-Nisa’ pula tidak diturunkan melainkan setelah aku berada di samping Baginda.” (Riwayat Imam al-Bukhari)

Riwayat daripada Saidatina ‘Aishah ini cukup mendalam dalam menjelaskan kaedah penurunan al-Quran dan impaknya dalam membentuk peribadi seseorang dan sesebuah masyarakat Muslim.

Ini juga menunjukan kedalaman fiqh ‘Aishah selaku mahaguru kepada ramai sahabat dan tabi’in pada zamannya. Beliau mengaitkan kandungan awal al-Quran yang berkaitan keimanan dengan kesediaan manusia dalam menerima hukum-hakam.

Kalam sempurna

Menurutnya, ayat-ayat yang awal diturunkan adalah tentang keimanan kepada akhirat termasuk ayat daripada surah al-Qamar yang disebut dalam riwayatnya itu.

Ayat daripada al-Qamar hanyalah contoh yang dikenangnya kerana sebelum itu sudah ada ayat-ayat lain yang diturunkan terutama dari surah al-’Alaq, al-Muzammil dan sebagainya.

Setelah manusia memeluk Islam dan meyakininya, barulah ayat-ayat berbentuk hukum-hakam diturunkan. Oleh sebab itu, ‘Aishah menceritakan bahawa surah al-Baqarah dan al-Nisa’ yang mengandungi banyak hukum-hakam diturunkan lewat iaitu ketika beliau di samping Nabi Muhammad SAW di Madinah.

Kalaupun ada hukum-hukum yang diturunkan di Makkah, bilangannya sedikit sahaja. Kebanyakan hukum diturunkan di Madinah. Malah, semua hukum jenayah atau disebut hudud juga diturunkan di fasa Madinah.

Selain penurunan al-Quran secara beransur-ansur, sesetengah hukumnya juga diturunkan secara beransur-ansur. Contohnya arak yang dicela dalam al-Quran sebanyak dua kali dan diharamkan pada kali ketiga.

Khalifah ‘Umar ‘Abdul ‘Aziz RA pernah menyebut hikmah di sebalik sifat beransur-ansur ini ketika anakandanya tergesa-gesa mahu baginda melaksanakan sepenuhnya kebenaran dan menghapus sepenuhnya kebatilan semasa tampuk pemerintahannya.

“Jangan tergesa-gesa wahai anakku. Sesungguhnya Allah mencela arak sebanyak dua kali dalam al-Quran dan mengharamkannya pada kali ketiga. Memadailah kerana aku telah melalui setiap hari dengan menghapuskan kemungkaran atau menyebarkan kemakrufan sehingga aku menemui Allah. Aku bimbang untuk membawa kebenaran kepada orang ramai secara sekaligus, lalu mereka menolaknya secara sekaligus hingga menyebabkan fitnah.” (Al-Isfahani, Hilyah al-Awliya’, hlm. 5/354)

Imam al-Shatibi rahimahullah memberi perhatian besar tentang hal ini. Dalam adikarya beliau, al-Muwafaqat beliau menegaskan bahawa pada fasa Makkah diturunkan dasar-dasar agama, manakala pada fasa Madinah diturunkan cabang-cabangnya.

Dasar-dasar agama yang diturunkan pada fasa Makkah adalah seperti keimanan kepada Allah, Rasulullah, akhirat, Kitab al-Quran, dan juga ayat-ayat tentang akhlak.

Dari segi pendidikan, keutamaan kepada dasar-dasar agama itu membantu untuk melahirkan Muslim yang mempunyai akar keagamaan yang jitu. Buktinya, generasi Muslim fasa Makkah (sebelum hijrah) walaupun sedikit namun cukup cekal dan tekal. Seksaan mahupun tawaran habuan dunia tidak menggugat keimanan mereka.

Usaha untuk mencapai objektif al-Quran dalam kehidupan tidak akan berkesudahan kerana kalam tuhan yang sempurna sedang difahami dan cuba dilaksana oleh insan yang tidak sempurna di dunia yang penuh kecacatan.

Namun, falsafah penurunan al-Quran itu sendiri boleh diteladani yang boleh dirumuskan dalam dua perkataan iaitu kebijaksanaan dan ketekalan. Tanpa kebijaksanaan, manusia boleh meninggalkan al-Quran secara sekaligus sebagaimana pesan ‘Umar ‘Abdul ‘Aziz. Tanpa ketekalan, kita akan terhenti di separuh jalan lalu teraba-raba daripada panduan al-Quran.

*** Marwan Bukhari A Hamid adalah penulis dan penterjemah lulusan Universiti Yarmouk, Jordan dan Universiti Sains Islam Malaysia 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.