Saban tahun, Kerajaan Selangor giat menjalankan pelbagai usaha bagi memperkasa institusi tahfiz secara peringkat terutama aspek pendidikan, kemudahan dan kebajikan.
Usaha berterusan sejak 2018 dijalankan secara tersusun termasuk pembiayaan dana puluhan juta ringgit termasuk membaik pulih prasarana demi memastikan pengajian agama terus subur di negeri ini.
Tumpuan juga terarah kepada usaha menangani isu kekurangan kemudahan di maahad tahfiz persendirian sekali gus meningkatkan lagi tahap keselamatannya. Ini dapat mengelakkan tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kuala Lumpur yang mengorbankan 20 pelajar dan tenaga pengajar berulang.
Justeru, program pemutihan dan garis panduan dibuat mulai 2021 bagi memastikan operasinya sah, selamat dan memenuhi piawaian selaras titah Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor.
Berlanjutan selama empat tahun, sebanyak 606 maahad dikesan tidak berdaftar sejak 2008. Setakat 20 Februari, 217 sekolah tahfiz di Selangor melalui proses pemutihan manakala 49 lagi telah berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
“Sekarang ini, kita berbaki 389 yang sedang diusahakan oleh Persatuan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor (PITAS), pihak berkuasa tempatan dan pejabat daerah dan tanah,” kata EXCO Hal Ehwal Islam Dr Mohamad Fahmi Ngah.
Melalui pendaftaran dalam program itu, pengurusan maahad tahfiz berpeluang mendapat Kebenaran Merancang (KM) sekali gus berpeluang meningkatkan kemudahan sedia ada.
Selain itu, Kerajaan Selangor memperkenal program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS) pada 2022 bagi menyediakan latihan kemahiran kepada lepasan tahfiz melalui peruntukan RM15 juta.
Program meliputi Sijil Kemahiran Malaysia membantu lepasan tahfiz memasuki alam pekerjaan dan keusahawan berbekal kemahiran yang mereka pelajari.
Belajar kemahiran
Seramai 103 pelajar terpilih mengikuti program berkenaan di Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor (STDC) dari 2021 hingga 2023. Mereka mendapat tajaan Kerajaan Negeri hasil peruntukan RM1.14 juta.
Mereka mempelajari bidang kemahiran seperti automotif, elektrik, teknologi maklumat, pastri dan kulinari, penyediaan pakaian wanita dan penyamanan udara. Pelajar juga menerima subsidi antara RM4,900 hingga RM15,075.
Pada 2023, Selangor menyediakan program tuisyen percuma bagi membantu pelajar tahfiz swasta yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Kelas tersebut ditawarkan di setiap daerah melalui program Laluan Pantas (Fast Track) SPM Huffaz Selangor.
“Inisiatif ini menggalakkan pelajar institusi tahfiz persendirian yang telah menghafal sekurang-kurangnya 10 juzuk al-Quran untuk memiliki kelulusan SPM agar ilmuwan Islam berpeluang menyertai lebih banyak institusi dan organisasi,” kata Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.
[caption id="attachment_691196" align="aligncenter" width="979"]
Dato Menteri Besar Dato Seri Amirudin Shari bercakap kepada media ketika menyampaikan sumbangan bakul makanan di Taman Bunga Raya Bukit Beruntung Selangor pada 12 Mac 2025. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Selain meningkatkan kemahiran pelajar, Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) pada awal tahun ini mahu membangunkan maahad tahfiz bertaraf antarabangsa di tanah yang diwakaf Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Pembangunan Maahad Integrasi Tahfiz Sains Selangor dijadual bermula pada 2026 di tanah seluas 9.9 ekar (4.00 hektar) di Seksyen 7, Shah Alam.
Projek tersebut menzahirkan hasrat DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang berhasrat maahad itu menekankan keperluan pelbagai bahasa seperti Inggeris, Arab dan satu lagi bahasa lain selain pengajian al-Quran. Pelajar cemerlang dihantar ke universiti utama di Eropah seperti Cambridge dan Oxford.
Kerajaan Selangor juga akan menerap pendidikan sains, matematik, kejuruteraan dan teknologi (STEM) kepada sekolah agama. Pentadbiran negeri mahu memastikan usaha mengejar kemajuan tidak terpisah dari pengajian Islam.
Justeru, sebanyak 23 sekolah agama seliaan Jais dikenal pasti sebagai perintis bagi penerapan STEM berasaskan al-Quran membabitkan peringkat menengah dan sekolah agama menengah tinggi.
“Sains teknologi ini, kalau kita faham daripada sudut aplikasi bagus, faham tentang ilmu, formula, pun bagus, tapi kalau faham juga susur galurnya termasuk apa yang terkandung dalam al-Quran lebih baik, akan jadi lebih sempurna dan lebih dihayati oleh pelajar,” kata Amirudin.
Bagi mengiktiraf keupayaan pelajar tahfiz, Kerajaan Selangor mencadangkan pengurusan masjid dan surau supaya menggunakan khidmat mereka untuk mengimami solat tarawih dalam Ramadan kali ini.
[caption id="attachment_661127" align="aligncenter" width="1288"]
Pelajar tahfiz ketika program Selawat, Munajat dan Tausiyah Perdana sempena Hari Kebangsaan ke-67 peringkat Selangor 2024 di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam pada 30 Ogos 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]


