SHAH ALAM, 16 MAC: Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) telah diarah menyemak status tauliah mengajar melibatkan seorang individu berimej agamawan yang tular melakukan insiden kekerasan terhadap seorang pelajar di Kajang, baru-baru ini.
EXCO Hal Ehwal Agama Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata sekiranya benar agamawan atau guru itu adalah pemegang tauliah Majlis Agama Islam Selangor (Mais), ia wajar ditarik balik serta-merta dan diharamkan daripada mengajar agama di negeri ini.
“Berdasarkan siasatan awal yang diterima daripada pihak berkuasa, saya telah mengarahkan Jais untuk memulakan semakan sekiranya agamawan atau guru tersebut memegang sebarang bentuk tauliah mengajar yang pernah diberikan Mais.
“Sekiranya benar agamawan atau guru ini adalah pemegang tauliah Mais maka tauliah ini wajar ditarik balik serta-merta dan beliau diharamkan daripada mengajar agama di Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohammad Fahmi turut menyatakan kekecewaannya terhadap insiden itu yang jelas bertentangan dengan prinsip dan ajaran Islam yang menuntut penyelesaian secara rasional dan berdasarkan asas perundangan yang berkuatkuasa.
“Saya amat kecewa dengan tindakan ganas lebih-lebih lagi di bulan Ramadan yang mulia ini.
“Saya mengecam segala bentuk kekerasan, lebih-lebih lagi jika pelakunya membawa imej agamawan atau guru kerana mereka harus mengamalkan akhlak yang mulia agar dapat diteladani oleh masyarakat, teutamanya golongan muda,” katanya.
Sehubungan itu beliau menyeru semua agamawan dan guru yang diberikan tauliah mengajar Mais di Selangor, agar sentiasa menjaga kemuliaan agama Islam dan menjauhi tindakan ganas yang boleh merosakkan imej kesederhanaan pada agamawan atau guru.
“Segala tindakan harus berdasarkan akhlak mulia, pertimbangan yang rasional serta mengikut asas perundangan yang berkuatkuasa,” katanya.
Semalam, media melaporkan individu yang ditahan kerana menumbuk seorang pelajar sekolah menengah akibat perselisihan faham di jalan raya berhampiran Saujana Impian, Kajang, pada 14 Mac direman selama sehari, semalam.
Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof seramai enam individu telah dipanggil untuk memberikan keterangan berhubung kes tersebut.