SHAH ALAM, 14 MAC: Festival Turath Islami Selangor kali ketiga yang dijadual berlangsung Julai ini membawakan dua kitab pengajian tafsir, termasuk karya ulama tersohor Imam Jalaluddin al-Suyuti.
Kitab Tafsir Jalalain, rujukan utama dalam pengajian tafsir al-Quran, dikarang Imam Jalaluddin al-Mahalli yang meninggal dunia pada 1459 sebelum diteruskan muridnya al-Suyuti.
Satu lagi kitab berjudul Usul Tafsir tulisan al-Suyuti juga dikupas dalam program yang akan diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini.
[caption id="attachment_688611" align="aligncenter" width="796"] Orang ramai menghadiri Malam Mahabbah Selangor sempena Festival Turath Islami Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 23 Februari 2024. Hadir sama Dato’ Menteri Besar Dato’ Sri Amirudin Shari dan Menteri Wakaf Mesir Dr Usamah al-Sayyid Mahmud al-Azhari. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Beberapa ulama luar negara termasuk Mesir, Maghribi, India dan Pakistan dijangka hadir dalam program yang berlangsung selama lapan hari.
Perincian festival tersebut akan diumum Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari dalam sambutan Nuzul Quran pada 18 Mac.
Pada 2023, program itu menumpukan bidang tasauf yang disampaikan bekas Mufti Agung Mesir Prof Dr Ali Juma’ah Muhammad Abdul Wahab yang mengupas kitab Ihya Ulumuddin karangan Imam al-Ghazali.
Pada tahun lalu, tumpuan perbincangan terarah kepada bidang hadis yang menyaksikan Dr Ali Juma'ah diundang sekali lagi bagi mengupas kitab Hadis 40 Imam Nawawi.
Selain itu, Pameran Al-Wahyu juga diadakan pada tahun sama menampilkan ulama terkenal manuskrip tulisan tangan Sheikh Nuruddin Ar-Raniri selain pelbagai kitab koleksi individu.