ad
AGENDA

Dua premis sembelihan ayam diserbu, 26 pekerja warga asing ditahan

13 Mac 2025, 1:32 AM
Dua premis sembelihan ayam diserbu, 26 pekerja warga asing ditahan
Dua premis sembelihan ayam diserbu, 26 pekerja warga asing ditahan

CHERAS, 13 MAC: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), menyerbu dua premis penyembelihan ayam di sekitar Cheras di sini pagi tadi kerana beroperasi secara haram dan kotor.

Dalam operasi 1 pagi itu, didapati ayam diletakkan di atas lantai dalam keadaan jijik dan kotor.

Pengarah KPDN Kuala Lumpur Mohd Sabri Seman berkata lebih 3,000 kilogram ayam dianggarkan bernilai RM28,000, disita daripada dua premis terbabit yang sebelum ini pernah diberikan notis tutup operasi oleh agensi lain Januari lalu.

“Kes disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011, Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Sabri berkata premis penyembelihan yang beroperasi dari 8 malam hingga 3 pagi setiap hari itu menggunakan khidmat pekerja warga asing yang turut sama dalam proses penyembelihan ayam.

Beliau berkata 26 warga asing dari India dan Bangladesh yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen, ditahan dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

Mohd Sabri berkata pihak Jakim juga akan menjalankan siasatan kerana premis berkenaan disyaki melanggar Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

Dalam pada itu, beliau berkata KPDN dengan kerjasama Jakim telah melaksanakan pemeriksaan di 11 premis hotel sekitar ibu negara bermula 2 Mac hingga Selasa lalu bagi memastikan pematuhan terhadap penyediaan makanan halal.

- BERNAMA

[caption id="attachment_691258" align="aligncenter" width="1266"] Penguat kuasa menjalankan siasatan di premis penyembelihan ayam dalam serbuan di dua premis sekitar Cheras pada 13 Mac 2025. Foto Facebook BERNAMA[/caption]

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.