SHAH ALAM, 4 MAC: Jabatan Kesihatan Selangor akan melaksana pemeriksaan secara rawak di lebih 200 tapak bazar bagi memastikan peniaga mematuhi syarat penyediaan makanan.
Pengarahnya Dr Ummi Kalthom Shamsudin berkata lebih 200 pegawai kesihatan digerakkan ke seluruh negeri bagi memeriksa premis jualan sekali gus mengelak kes keracunan makanan.
“Untuk tahun ini, kita mempunyai 236 tapak bazar Ramadan membabitkan 15,349 gerai di seluruh Selangor. Paling banyak di Kajang iaitu 41 tapak yang menempatkan 2,742 gerai.
“Kita akan buat pemeriksaan menyeluruh secara rambang di semua tapak bazar dengan melibatkan lebih 200 pegawai kesihatan,” katanya ditemui pada program jelajah bazar Ramadan sempena Ihya’ Ramadan Selangor di bazar Seksyen 13 hari ini.
Terdahulu, EXCO Keusahawanan Mohd Najwan Halimi merasmikan kod QR Kempen Keselamatan Makanan: Perhati dan Pilih. Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Dato' Ts Saipolyazan Mat Yusop.
Mengulas mengenai kempen tersebut, beliau memaklumkan kempen yang pertama kali dilaksana itu bagi memudahkan orang awam menyalurkan aduan berkaitan salah laku dalam penjualan makanan.
“Kod QR yang dilancar ini juga mempunyai pelbagai informasi antaranya tips pemilihan juadah, amalan mengelak keracunan makanan dan cara penyimpanan lebihan juadah.
“Pengunjung bazar hanya perlu imbas kod QR yang diletakkan di setiap bazar Ramadan bagi mendapatkan informasi berkenaan,” katanya.